86.5% banduan di seluruh negara diberi vaksin Covid-19, kata timbalan menteri


Aminah Farid Noel Achariam

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata sehingga 14 Februari seramai 60,760 atau 86.5% banduan sudah diberi vaksin Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mac, 2022.

SEHINGGA 14 Februari seramai 60,760 atau 86.5% banduan sudah diberi vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin kepada Parlimen hari ini.

Beliau berkata mengikut perangkaan Jabatan Penjara Malaysia sebanyak 9,543 atau 15.3% belum divaksin.

Sementara itu beliau berkata setakat 23 Februari lalu seramai 16,869 tahanan di mana 13,902 atau 82.3% daripadanya berada di depoh imigresen termasuk depoh sementara imigresen sudah menerima vaksinasi berkenaan manakala hanya 2,994 atau 17.7% belum menerima vaksin.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah proaktif melaksanakan program vaksinasi terhadap banduan di penjara dan tahanan di depoh tahanan.

“Ia terbukti apabila program vaksinasi dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula tahun lalu sehingga berjaya mencapai jumlah yang tinggi dalam tempoh singkat. Ia juga merupakan inisiatif yang digerakkan di peringkat negeri masing-masing dengan kerjasama Kementerian Kesihatan,” katanya.

Jonathan memberi maklum balas kepada Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-PH) yang bertanyakan tentang angka vaksinasi dalam kalangan banduan.

Menteri itu bagaimanapun tidak menyatakan sama ada vaksin itu termasuk suntikan pertama atau lengkap serta suntikan penggalak. 

Di peringkat nasional Malaysia memberikan 68.5 juta dos vaksinasi Covid-19 melibatkan 25 juta individu. – 23 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen