Penganalisis sokong Loke dipilih setiausaha agung DAP


Khoo Gek San

Anthony Loke dipuji kerana kefasihannya dalam berbahasa Melayu dan beliau antara ahli Parlimen DAP yang diterima baik oleh masyarakat Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Mac, 2022.

PARTI pelbagai kaum DAP yang selama ini didominasi oleh orang Cina mungkin dapat memberikan imej lebih baik kepada orang Melayu dengan pelantikan setiausaha agungnya yang baharu Anthony Loke, kata penganalisis

Dilihat sebagai kurang agresif berbanding pendahulunya Lim Guan Eng, Loke dilihat akan membuang persepsi bahawa DAP adalah parti yang didominasi kaum Cina, kata Penolong Profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM) Lau Zhe Wei.

“Ini bagus (untuk DAP) kerana ini bermakna masyarakat Melayu boleh memberi peluang kepada DAP,” kata Lau kepada The Malaysian Insight selepas kongres nasional DAP dan pemilihan pemegang jawatan baharu bagi penggal 2022-2025 Ahad lepas.

Lau berkata Loke yang dipuji kerana kefasihannya dalam berbahasa Melayu adalah antara ahli Parlimen DAP lain yang diterima baik oleh masyarakat Melayu.

Lim, 61, memegang jawatan setiausaha agung selama 18 tahun. Hasratnya untuk meletak jawatan itu sebelum pilihan raya diketahui kerana DAP kini mempunyai had penggal untuk memegang jawatan itu.

Bagaimanapun bekas menteri kewangan dan ahli Parlimen Bagan itu kini merupakan pengerusi parti selepas memenangi jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang mana 30 ahli baharu dilantik kemudian melantiknya ke jawatan itu.

Bapanya veteran parti Lim Kit Siang mengumumkan bersara daripada politik dan pilihan raya pada kongres Ahad lepas tetapi dilantik sebagai mentor parti. Kakak Guan Eng, Lim Hui Ying juga memenangi undi yang mencukupi untuk menyertai CEC.

Lau berkata ini masih boleh menimbulkan tanggapan bahawa keluarga Lim akan terus mengawal parti.

Barisan pemegang jawatan baharu bagaimanapun menunjukkan apa yang disebut Loke sebagai “generasi ketiga” pemimpin DAP yang menerajui bersama beliau.

Dalam catatan Facebook Loke mengiktiraf perkhidmatan berterusan pemimpin generasi kedua seperti Guan Eng dan Tan Kok Wai yang meletak jawatan sebagai pengerusi parti tetapi dilantik sebagai penasihat.

Loke juga memuji “generasi keempat” pemimpin muda berusia 30-an dan 40-an yang dipilih ke dalam CEC yang sebahagian daripada mereka juga dilantik sebagai pemegang jawatan.

Tinjauan itu bagaimanapun juga menunjukkan beberapa pemimpin berprofil tinggi dan lantang gagal memperoleh undi yang mencukupi untuk melayakkan diri menjadi ahli CEC.

Ini termasuk Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming. Pua sebelum ini merupakan setiausaha politik Guan Eng di Kementerian Kewangan dan Ong adalah timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Seorang lagi ahli Parlimen terkemuka yang tidak menyertai CEC ialah Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin, bekas menteri tenaga, sains, teknologi alam sekitar dan perubahan iklim. – 23 Mac, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen