Era generasi ketiga DAP bermula, kata Loke


Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke dilantik sebagai setiausaha agung baharu DAP hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mac, 2022.

ANTHONY Loke dilantik setiausaha agung DAP yang baharu bagi penggal 2022 hingga 2025 susulan pemilihan parti hari ini yang menandakan peralihan generasi dalam parti lebih lima dekad itu.

Bekas setiausaha agung Lim Guan Eng sebulat suara dilantik pengerusi parti menggantikan Tan Kok Wai, yang dinamakan sebagai penasihat parti. Gobind Singh Deo kekal sebagai timbalan pengerusi parti.

Loke, bekas menteri pengangkutan, akan dibantu Liew Chin Tong sebagai timbalan setiausaha agung bersama V Sivakumar dan Tengku Zulpuri Shah yang dilantik ke jawatankuasa tertinggi parti.

Tiga naib pengerusi juga kekal iaitu Chow Kon Yeow, Chong Chieng Jen dan M Kulasegaran sementara dua naib pengerusi baharu ialah Nga Kor Ming dan Teresa Kok.

Nga, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, turut dinamakan sebagai ketua parlimen DAP.

Dalam sidang media selepas pengumuman barisan kepimpinan baharu DAP, Loke berkata, keputusan pemilihan dan pelantikan ahli jawatankuasa tertinggi pusat parti hari ini menandakan fasa baharu dalam sejarah DAP, yang menyambut ulang tahun ke-56 tahun bulan ini.

“Ini adalah era kepimpinan generasi ketiga dalam DAP,” katanya, sambil merakamkan penghargaan kepada pemimpin generasi pertama dan kedua yang bersikap inklusif melibatkan mereka dalam barisan kepimpinan.

“Ini merupakan satu fasa peralihan kepimpinan daripada 2G kepada 3G… kita melihat ini sebagai satu saf kepimpinan baharu yang akan memimpin DAP ke era lebih gemilang,” kata Loke.

Veteran DAP Lim Kit Siang, dari generasi pertama DAP, yang mengumumkan bersara daripada politik dan tidak bertanding dalam pemilihan hari ini sebulat suara dilantik sebagai mentor parti.

Gobind Singh Deo (kiri), Lim Guan Eng (tengah) dan Anthony Loke pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mac, 2022.

Loke juga berjanji kepimpinannya akan terus bersifat inklusif kerana baginya semua pemimpin DAP, termasuk yang tidak memegang jawatan tertinggi parti, ada peranannya masing-masing.

“Dalam DAP ada banyak bakat, ada banyak kekuatan. Pendekatan saya akan meneruskan tradisi kepimpinan yang kolektif dan inklusif,” katanya.

Loke juga berkata, beliau mahu menyatukan seluruh kekuatan parti untuk jadi lebih gemilang.

Sementara itu, Steven Sim Chee Keong dilantik setiausaha organisasi kebangsaan, jawatan yang sebelum ini disandang oleh Loke.

Beliau dibantu Ng Suee Lim dan Khoo Poay Tiong, yang dilantik ke jawatankuasa tertinggi parti.

Teo Nie Ching diberi tanggungjawab sebagai setiausaha publisiti.

Kongres Kebangsaan DAP ke-17 hari ini disertai lebih 4,000 perwakilan yang memilih barisan kepimpinan baharu yang akan menerajui DAP ke Pilihan Raya Umum ke-15, yang dijangka akan berlangsung tahun ini.

Tidak seperti pemilihan parti lain, dalam DAP perwakilan memilih anggota jawatankuasa tertinggi parti yang kemudian bermesyuarat sesama mereka menentukan barisan kepimpinan.

Pemilihan kali ini juga melaksanakan kuota 30% wanita dalam jawatankuasa susulan pindaan perlembagaan parti pada kongres sebelumnya. – 20 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen