DBKL diselar guna dana awam untuk kes mahkamah projek Taman Rimba Kiara


Aminah Farid

DDBKL membelanjakan RM1.106 juta termasuk RM433,466 dibelanjakan untuk yuran guaman di Mahkamah Rayuan berhubung projek Taman Rimba Kiara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2022.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setakat ini telah membelanjakan RM1.106 juta berhubung kes mahkamah berkaitan penduduk Taman Run Dr Ismail mengenai projek Taman Rimba Kiara, dakwa Persatuan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDIRA), sambil melahirkan rasa kecewa terhadap penggunaan dana awam untuk menentang pembayar cukai.

RM1.106 juta itu dibelanjakan sehingga 2021 untuk prosiding undang-undang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan berhubung kesahihan keputusan DBKL untuk memberi kelulusan pembangunan bagi projek kondominium mega itu.

TTDIRA berkata pihaknya kini bimbang walaupun keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan pada Januari 2021 yang memihak kepada penduduk mengisytiharkan perintah pembangunan itu tidak sah, DBKL membelanjakan lebih banyak dana pembayar cukai untuk meneruskan rayuan di mahkamah persekutuan.

“TTDIRA melahirkan rasa kecewa terhadap penggunaan dana awam yang teruk oleh DBKL untuk melawan orang ramai di mahkamah,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini.

“TTDIRA mempersoalkan penilaian dan cara membuat keputusan Menteri Wilayah Persekutuan dan kementeriannya berhubung penggunaan dana awam untuk melawan orang ramai di mahkamah.

“Ini adalah dana awam yang boleh digunakan untuk banyak keperluan lain, termasuk perumahan, penambahbaikan infrastruktur, pembaikan jalan, sokongan Covid, dan sebagainya.”

Angka jumlah yang dibelanjakan itu diperoleh daripada jawapan bertulis kepada soalan Parlimen oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, yang meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan kos perundangan dan kos lain yang dibelanjakan oleh DBKL dalam tuntutan undang-undang berhubung projek kondo itu.

Penduduk TTDI memulakan saman itu pada 2018 berhubung projek yang akan menceroboh taman awam Taman Rimba Kiara, selain menyebabkan kesesakan dan menambah kepadatan pinggir bandar TTDI yang dibangunkan dengan baik.

RM1.106 juta itu termasuk RM433,466 dibelanjakan untuk yuran guaman di Mahkamah Rayuan.

Dengan usaha merayu di Mahkamah Persekutuan, DBKL sehingga kini terpaksa menanggung kos guaman tambahan sebanyak RM339,841.50 untuk mendapatkan kebenaran merayu di mahkamah tertinggi. – 22 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen