Lebih 4,000 CCTV dipasang di KL untuk kesan banjir, kata timbalan menteri


Aminah Farid

DBKL akan menambah 1,000 lagi CCTV pada Jun sebagai sebahagian daripada langkah mengesan banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2022.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai lebih 4,000 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar Wilayah Persekutuan sebagai langkah proaktif untuk mengesan kemungkinan banjir, Parlimen diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata DBKL akan menambah 1,000 lagi CCTV pada Jun sebagai sebahagian daripada langkah mengesan banjir.

Menteri itu menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa-PH) yang mempersoalkan kesediaan Kuala Lumpur berdepan kesan iklim yang semakin melampau termasuk banjir dan tanah runtuh dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Beliau berkata sebahagian daripada CCTV ini akan diletakkan di kawasan tempatan dan panas di kawasan yang sering dilanda banjir.

Jalaluddin berkata selain hanya CCTV DBKL juga akan mengambil tindakan segera membersihkan semua longkang di tepi jalan.

“Pengurusan trafik semasa banjir akan diteruskan dan diselia dengan bantuan agensi lain seperti bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain.

“Selain itu pusat pemindahan sementara juga akan dibuka seperti biasa mengikut keperluan dan keadaan lokaliti yang dinaiki air,” katanya.

Beliau berkata sebagai pendekatan jangka pendek DBKL menjalankan aktiviti menaik taraf longkang monsun, longkang tepi jalan dan pembetung serta menambah dan membesarkan longkang tepi jalan dan membina tembok banjir di kawasan rendah bersama kawasan sungai.

Hanya tiga bulan selepas Lembah Klang mengalami banjir terburuk sejak 1971, Kuala Lumpur sekali lagi dilanda banjir kilat pada 7 Mac.

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan tujuh sungai di Kuala Lumpur dan Selangor melebihi paras air berbahaya.

Selain sebahagian Lembah Pantai, kawasan banjir kilat terjejas seperti terowong Tabung Haji, terowong Jalan Chan Sow Lin, Jalan Pudu, Jalan Pahang, Jalan Sri Permaisuri, Jalan Tun Razak, Jalan Kuchai Lama dan Jalan Pinang. – 22 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen