Pendidik tuntut Putrajaya bendung peningkatan kadar keciciran universiti


Aminah Farid

Lebih 17,000 pelajar dilaporkan tercicir daripada universiti awam dan swasta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2022.

ANGKA terkini berkenaan lebih 17,000 pelajar tercicir daripada universiti awam dan swasta membimbangkan dan pakar pendidikan mempersoalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengapa tidak ada usaha untuk membantu belia yang terjejas.

Usaha kementerian seperti yang diumumkan setakat ini adalah tidak memuaskan dan masalah itu tanpa pengawasan akan memberi kesan kepada masa depan negara, kata mereka.

Pada 3 Mac Menteri Pengajian Tinggi Dr Noraini Ahmad memberitahu Parlimen seramai 17,613 pelajar universiti awam tercicir tahun lepas manakala 5,165 pelajar digantung pengajian.

Bagi pelajar universiti swasta pula seramai 20,577 memilih untuk menangguhkan pengajian mereka.

Noraini berkata antara faktor penangguhan pengajian adalah masalah kesihatan diri atau keluarga, masalah kewangan dan mendapatkan pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif badan bukan kerajaan yang berfokuskan pendidikan, Untuk Malaysia Zul Fikri Zamir berkata angka itu menggambarkan keadaan sosio-ekonomi sebenar keluarga pelajar dan menunjukkan ramai orang masih belum pulih daripada kesusahan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan penutupan.

Penulis dan pendidik itu berkata angka keciciran itu juga tidak mengejutkan malah mungkin lebih tinggi daripada apa yang didakwa KPT.

“Malah saya fikir ia hanyalah statistik rasmi yang dibaca oleh KPT apabila angka sebenar mungkin dua atau tiga kali ganda lebih tinggi daripada jumlah itu,” katanya.

Beliau berkata KPT perlu menjelaskan lebih lanjut termasuk langkah yang diambil bagi memastikan pelajar yang terjejas tidak berputus asa dalam pengajian tinggi.

“Semua input ini penting untuk kita memahami apa yang berlaku dan bagaimana ia boleh dielakkan,” katanya.

Pelajar yang berjaya memasuki universiti termasuk daripada keluarga miskin perlu digalakkan kerana ia selalunya satu-satunya peluang untuk keluarga mereka keluar dari kemiskinan, tambahnya.

“Jika kerajaan tidak melakukan yang terbaik untuk membantu mereka menyambung pelajaran, keluarga mereka mempunyai sedikit peluang untuk mengubah masa depan mereka,” katanya.

Zamir juga meminta KPT mengambil tindakan konkrit bagi memastikan keciciran universiti tidak ketinggalan.

Keciciran pelajar dari universiti bermakna Malaysia akan kehilangan sebahagian penduduk yang berpotensi menyumbang kepada kekayaan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2022.

“Adakah KPT akan menawarkan semula pelajar ini program khas untuk membantu mereka menamatkan pengajian di bawah syarat khas atau kerajaan akan membiarkan semua anak-anak ini ditinggalkan dan meninggalkan pengajian tanpa sebarang sijil?

“Saya ragu mana-mana pelajar ini sengaja digugurkan ketika wabak melanda. Pasti ada sebab yang mendorong mereka membuat keputusan yang begitu besar. Apakah tanggungjawab yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap mereka dalam masa sukar?

Noraini pula mendedahkan langkah yang diambil oleh KPT untuk membantu pelajar yang berdepan masalah dalam pelajaran semasa pandemik apabila pengajaran dan pembelajaran adalah dalam talian dan berasaskan rumah.

Beliau berkata antara langkah itu ialah memberi universiti fleksibilti menentukan kaedah PdPR serta tentang penilaian dan pengukuran.

Selain itu kementerian turut menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada kumpulan sasaran termasuk dalam kategori B40.

KPT melalui unit kaunseling dan bimbingan di universiti awam turut menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada pelajar yag mengalami tekanan emosi atau mental.

Naib Presiden Persatuan Pendidikan Malaysia (MAE) Mohd Majid Konting menjangkakan pelajar universiti menguasai pembelajaran di rumah adalah sukar apabila ada yang masih berdepan masalah akses kepada infrastruktur dan akan melemahkan semagat ramai yang sudah bergelut.

“Ada banyak sebab pelajar berhenti belajar dengan ada yang sudah diketengahkan oleh menteri.

“Dalam kes tahun pandemik kami mendapati hampir semua pelajar dan guru mereka perlu menyesuaikan diri dengan pantas dan pengajaran serta pembelajaran dalam talian.

“Segera dan secara tiba-tiba kedua-dua guru dan pelajar perlu menguasai dan menjadi mahir dalam teknologi sementara ada yang masih perlu berdepan masalah dengan ketersediaan dan kebolehcapaian infrastruktur teknologi asas apalagi keadaan seni pengajaran dan pembelajaran dalam talian,” katanya.

Pelajar akan mempunyai minat mereka untuk belajar dan motivasi terganggu serta ini lebih sukar bagi pelajar universiti yang dijangka melakukan pembelajaran bebas dalam persekitaran pendidikan tinggi.

“Mereka yang tidak dapat bertahan akan berkemungkinan tercicir daripada sistem. Jika mereka diberi peluang untuk kembali menyambung pengajian dalam masa terdekat pasti ada yang akan berbuat demikian,” katanya.

Majid berkata pengabaian keciciran universiti juga bermakna Malaysia akan kehilangan sebahagian daripada penduduk yang berpotensi menyumbang kepada kekayaan negara sekiranya mereka tidak dinafikan hak untuk mendapat pendidikan tinggi. – 24 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen