PAS tak perlu jadi hero di Dewan Rakyat isu pekerja pakai tudung, kata ahli Parlimen Sepang


Aminah Farid

AHLI Parlimen PAS yang menyatakan kononnya wanita Islam yang bertudung di tempat kerja didiskriminasi gagal memahami semakan Akta Kerja 2021, kata Mohamed Hanipa Maidin (Sepang-PH) kepada Parlimen hari ini.

Semasa perbahasan Dewan Rakyat Rang Undang-undang Pekerjaan (Pindaan) 2021 hari ini, Hanipa berkata bahawa undang-undang pindaan, yang melarang sebarang diskriminasi dalam pekerjaan, harus difahami dalam perspektif yang lebih besar kerana ia merangkumi diskriminasi terhadap wanita yang bertudung.

“Kalau kita baca Seksyen 69F secara lebih harmoni (konteks yang lebih luas), kita boleh mengatakan bahawa seksyen ini melindungi pekerja-pekerja yang memakai tudung. 

“Jadi saya rasa tidak perlulah pihak PAS cuba nak jadi hero dengan mengatakan seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan tidak ambil berat,” kata Hanipa semasa perbahasan. 

Seksyen 69F baharu memberi kuasa kepada ketua setiausaha Kementerian Sumber Manusia untuk menyiasat tuduhan diskriminasi pekerjaan, membuat keputusan mengenai pertikaian yang berkaitan dan mengeluarkan perintah.

Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) sebelum ini berkata rang undang-undang itu masih menunjukkan pentadbiran PH terlepas pandang terhadap diskriminasi terhadap wanita Islam bertudung di tempat kerja.

“Ahli Parlimen Pasir Mas (Ahmad Fadhli Shaari) sebentar tadi berkata semasa pentadbiran PH, hak pekerja wanita untuk menunaikan tuntutan agama mereka tidak diberi perhatian oleh kerajaan ketika itu,” kata Che Abdullah.

Fadhli membuat tuduhan itu apabila meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap majikan yang enggan membenarkan pekerja wanita bertudung.

Che Abdullah mencelah perbahasan Hanipa dan menuduh kerajaan PH sebelum ini menolaknya sebagai perkara kecil.

“Ini adalah hak untuk melaksanakan tuntutan agama. Ini isu besar tetapi Harapan melihatnya sebagai isu kecil, sekadar bertudung dan mungkin ada antara mereka yang beranggapan menutup aurat tidak penting,” katanya.

Hanipa kemudian menjawab sinis sambil mendakwa penjelasannya sebelum ini terlalu rumit untuk difahami oleh Che Abdullah.

“Kamu mungkin tak faham apa yang saya terangkan. Tetapi saya maafkan, mungkin kamu mengalami kesukaran untuk memahami apa yang saya katakan. Mungkin isu itu terlalu mendalam dan kamu sukar untuk memahaminya,” katanya.– 21 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen