Parlimen lulus lanjutan cuti bersalin dari 90 ke 98 hari


Aminah Farid

Dewan Rakyat meluluskan pindaan untuk melanjutkan tempoh cuti bersalin daripada 90 kepada 98 hari.– Gambar EPA, 21 Mac, 2022.

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan untuk meminda cuti bersalin daripada 90 kepada 98 hari di bawah Akta Pekerjaan 1955.

Pindaan itu diluluskan dengan undi suara.

Lanjutan itu adalah selaras dengan saranan yang dibuat oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Konvensyen 183nya, diluluskan pada tahun 2000, memerlukan kerajaan untuk menjamin 98 hari (14 minggu) cuti bersalin berbayar.

Pindaan Rang Undang-undang Pekerjaan melibatkan perubahan kepada 46 fasal, termasuk 10 fasal baharu, 26 fasal pindaan, dan enam fasal dimansuhkan.

Antara perubahan itu ialah cadangan menyediakan tempoh tiga hari cuti paterniti bagi mereka yang bekerja di sektor swasta.

Semasa perbahasan, ahli Parlimen di kedua-dua pihak merayu kepada kerajaan untuk melanjutkan cuti paterniti daripada tiga kepada tujuh hari.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berjanji untuk menyemak semula undang-undang untuk menambah tujuh hari cuti paterniti berbayar di sektor swasta semasa ucapan penggulungannya.

“Setelah mengambil kira aspek kebajikan, kementerian bersetuju dengan cadangan itu. Pindaan akan dilakukan di peringkat jawatankuasa (atau bacaan kali ketiga pindaan Rang Undang-undang Pekerjaan),” katanya.

Pada masa ini, hanya bapa dalam sektor awam dibenarkan cuti bergaji selama tujuh hari manakala mereka yang berada di sektor swasta tidak berhak mendapat apa-apa cuti. – 21 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen