KKM, SPR bincang hak pengundi positif Covid-19, kata Khairy


Individu positif Covid-19 pada masa ini dilarang hadir ke pusat pengundian semasa PRN yang berlangsung sebelum ini di Melaka, Sarawak, dan Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mac, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencari jalan untuk membolehkan pengundi yang dijangkiti Covid-19 mengundi pada pilihan raya, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, Covid-19 akan kekal lama dalam masyarakat dan hak mengundi mereka tidak boleh dinafikan kerana ia dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau kita nafikan hak mereka untuk mengundi, kita menafikan hak untuk berperlembagaan. Jadi kita sedang memikirkan apa cara selamat bagi membolehkan mereka mengundi dan di mana,” katanya, seperti dipetik media selepas melancarkan laporan tahunan penyelidikan klinikal Malaysia di Kuala Lumpur.

Khairy menyebut perkara ini ketika spekulasi semakin hangat pilihan raya umum akan diadakan sebelum akhir tahun ini.

Perwakilan Umno pada perhimpunan tahunan parti hujung minggu lalu menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar segera membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka yang sah positif Covid-19 pada masa ini dilarang daripada hadir ke pusat pengundian semasa pilihan raya negeri yang berlangsung sebelum ini di Melaka, Sarawak, dan Johor.

Semasa PRN Johor 12 Mac lalu, seorang pengundi di kawasan DUN Larkin yang sedang menjalani kuarantin kerana dijangkiti Covid-19  dikompaun RM1,000 selepas hadir ke pusat mengundi di Dewan Kampung Melayu Majidee.

Khairy menjelaskan ada beberapa pertimbangan yang perlu diteliti untuk membenarkan mereka yang positif Covid-19 mengundi, antaranya melalui pos atau saluran khas. 

Sekiranya saluran khas di pusat mengundi, pergerakan mereka ke tempat mengundi juga perlu difikirkan, tambahnya.

Jelas Khairy, apa yang menjadi keutamaan dalam pertimbangan ini ialah keselamatan awam.

Sementara itu, mengenai PRU15, Khairy berkata penentuannya bergantung pada risiko jangkitan Covid-19.

“Kita kena cari masa yang paling sesuai atau tempoh yang boleh dikatakan berisiko paling rendah untuk kita adakan pilihan raya.

“Sebab kita tahu pilihan raya ini melibatkan proses yang ramai orang keluar, kempen dan mengundi,” katanya. – 21 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen