Hutang kerajaan RM979.8 bilion setakat Disember 2021, kata timbalan menteri


Aminah Farid

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata jumlah keseluruhan hutang kerajaan setakat Disember 2021 sebanyak RM979.8 bilion, namun ianya masih berada di bawah had hutang 65 peratus yang diluluskan di Parlimen sebelum ini di bawah RUU Pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) 2021. – Gambar Facebook, 21 Mac, 2022.

HUTANG keseluruhan kerajaan persekutuan setakat Disember 2021 berjumlah RM979.8 bilion atau 63.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah kepada Dewan Rakyat hari ini.

Katanya hutang statutori, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) berjumlah 59.7 peratus daripada KDNK.

Mohd Shahar berkata hutang statutori itu masih di bawah had 65 peratus seperti yang diluluskan Parlimen di bawah Rang Undang-Undang Pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) 2021.

Dalam laporan Tinjauan Fiskal 2022, Kementerian Kewangan (MoF) berkata hutang kerajaan persekutuan diunjurkan mencapai 66 peratus daripada KDNK menjelang akhir 2022, manakala hutang berkanunnya dijangka berada pada 63.4 peratus, lebih rendah berbanding 65 peratus ambang hutang.

Sementara itu, timbalan menteri berkata ekonomi negara berkembang sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021 berbanding penurunan 3.4 peratus pada suku keempat 2020.

“KDNK terus mencatat pertumbuhan positif sebanyak 2.6 peratus pada Disember, berikutan kadar pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 2.7 peratus dan 5.4 peratus pada Oktober dan November 2021,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya, KDNK 2021 telah mencatatkan kadar pertumbuhan 3.1 peratus berbanding penurunan 5.6 peratus pada 2020.

Mohd Shahar berkata momentum pertumbuhan ini disokong oleh
kemajuan dan keberkesanan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang membolehkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan penyambungan semula aktiviti sosial terutamanya pada suku keempat 2021.

Beliau berkata Putrajaya juga telah menerima pakai Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana yang akan memandu strategi fiskal negara dalam jangka sederhana.

Ia berfungsi sebagai panduan untuk perancangan belanjawan dengan menetapkan unjuran makro-fiskal tiga tahun, termasuk hasil dan perbelanjaan.

“Selain itu, penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) diharap dapat memperkukuh tadbir urus, ketelusan, pengurusan kewangan awam, dan disiplin fiskal,” katanya.

Timbalan menteri itu menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta MoF menyatakan data terkini mengenai pertumbuhan ekonomi negara, keadaan fiskal dan hutang kerajaan. – 21 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen