Kelab malam bincang dengan KKM untuk operasi semula


Raevathi Supramaniam

Pemilik kelab malam sedang berbincang dengan KKM tentang langkah pembukaan semula industri itu dengan selamat. – Gambar Dragonfly, 22 Mac, 2022.

PEMILIK kelab malam dalam proses berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) tentang langkah pembukaan semula industri tersebut dengan selamat.

Mengakui kebimbangan kerajaan untuk ia beroperasi semula, pemilik berkata mereka berhadapan dengan hutang dan kerugian berjuta ringgit akibat penutupan sejak dua tahun selepas pandemik Covid melanda.

Sebaliknya mereka berkata kerajaan perlu mengawal aktiviti berisiko tinggi, bukannya terhadap industri.

Jeremy Lim, naib presiden persatuan pemilik restoran dan bistro berkata kumpulan itu menghubungi Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kami menghubunginya untuk berbincang,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

“Beliau seorang yang didorong oleh data dan sains. Kami tidak anjurkan pembukaan seperti sebelum pandemik, kami sedar risikonya dan kami juga ada keluarga di rumah.

“Kami tidak mahu menjadi hot spot jangkitan. Mengambil contoh negara-negara Eropah, kami ada idea tentang perkara yang tidak boleh dibuat”.

Lim yang juga pemilik kelab malam Dragonfly KL berkata walaupun masih awal, persatuan itu bersyukur kerana Khairy sudi berbincang.

“Mudah-mudahan kita akan dapat persefahaman dalam minggu-minggu mendatang.”

Persatuan pemilik restoran dan bistro mempunyai kira-kira 300 ahli pada 2021, yang mana 20% ditutup sejak pandemik melanda. Kira-kira 10% hingga 15% ahli terdiri daripada pemilik kelab malam.

Lim berkata kerajaan juga perlu faham bekerja dalam sektor hiburan bukan jenis pekerjaan untuk semua orang, ia berdasarkan minat juga.

“Muzik bukan hobi bagi sesetengah orang, ia mata pencarian.”

Awal bulan ini, Khairy berkata kelab malam akan kekal sebagai aktiviti terlarang walaupun negara beralih kepada fasa endemik pada 1 April.

Khairy berkata kelab malam disifatkan sebagai lokasi berisiko tinggi kerana sifat premis dan aktivitinya.

Pemilik kelab malam Dragonfly Jeremy Lim berkata beliau terpaksa melepaskan 25 peratus kakitangannya dan berdepan hutang kira-kira RM1 juta berikutan penutupan operasi sejak pandemik melanda dua tahun lalu. – Gambar Dragonfly, 21 Mac, 2022.

Benarkan tukar lesen operasi

Lim berkata jika kerajaan berkeras untuk tidak membenarkan pemegang lesen hiburan beroperasi, ia sekurang-kurangnya boleh pertimbang untuk membenarkan mereka beralih kepada perniagaan lain.

“Kami hanya mahu pemegang lesen hiburan bertukar, menjadi ruang kepada restoran, gim atau ruang acara, tanpa perlu membatalkan lesen hiburan kami,” katanya.

Kedai F&B biasanya memegang lesen restoran. Untuk menghidangkan alkohol, mereka perlu mendapatkan lesen minuman keras.

Bagi kelab, mereka juga perlu memohon lesen hiburan, yang sukar diperoleh, kata Lim.

Lim berkata beliau terpaksa memberhentikan 25% kakitangannya dan berdepan hutang kira-kira RM1 juta.

“Kami terpaksa melepaskan 25% kakitangan kami. Kami rasa walaupun boleh buka semula, ia akan jadi berlebihan. Mereka mendapat sedikit wang daripada Sistem Insurans Pekerjaan (EIS).

“Masalah yang lebih nyata ialah pemiutang kerana kami beli saham secara kredit. Syukurlah, kebanyakan mereka faham. Apabila kita ada wang, kita langsaikan hutang kita.

“Kami ada hutang sebanyak RM1 juta, kini kami hampir selesai bayar. Orang F&B berdaya tahan. Beri kami padang permainan yang sama rata dan kami akan bangkit semula.”

Lim juga cukup faham untuk membuat pengaturan yang fleksibel dari segi pembayaran.

Bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi gaji juga membantu Lim membayar gaji kakitangannya, katanya.

Penutupan jejas pelancongan

Kelvin Lam, pengurus besar TREC KL yang menempatkan kelab seperti Zouk KL, The Iron Fairies dan Le Noir berkata perniagaan merosot sebanyak 60% hingga 70%.

TREC KL ialah tempat hiburan yang disahkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pelancongan Kuala Lumpur 2015-2025.

“Kami rugi besar. Jualan perniagaan turun 60% hingga 70%. Sungguh menyedihkan dan teruk.

“Pekerja lama kini menganggur dan ada yang buat kerja sambilan,” katanya.

Lam berkata keraguan kerajaan untuk membenarkan kelab malam dibuka semula mungkin tidak dapat menarik pelancong.

“Pada pandangan saya, ia menjejaskan industri pelancongan kerana pelancong asing mungkin tidak mahu melancong ke Malaysia apabila sektor hiburan tidak dibenarkan beroperasi.

“Ekonomi Malaysia juga akan terjejas teruk.”

Kelab boleh mengambil langkah tertentu seperti ujian saringan wajib untuk pelanggan masuk, katanya.

“Kita boleh minta pengunjung buat ujian kendiri sebelum masuk premis.

“Kita juga boleh kenakan syarat hanya pelawat yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk dan juga mengehadkan kapasiti tempat duduk dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Ini boleh membantu mencegah penularan Covid-19, seperti yang kita buktikan daripada sektor lain yang dibenarkan beroperasi.” – 22 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen