Tiada kematian dikaitkan dengan vaksin, kata timbalan menteri kesihatan


Noel Achariam Aminah Farid

Tiada laporan diterima mengaitkan vaksinasi Covid-19 dengan kes kematian setakat ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Aaron Ago Dagang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2022.

TIADA laporan diterima mengaitkan vaksinasi Covid-19 dengan kes kematian, kata Timbalan Menteri Kesihatan Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata sepanjang program imunisasi dijalankan sehingga 11 Mac, tidak ada kes secara langsung dikaitkan kepada individu yang sudah divaksin.

“Sejak program imunisasi dimulakan, Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan menerima 607 laporan Kesan advers berikutan pelalian (AEFI).

“Laporan ini berkenaan kematian yang disyaki membabitkan pesakit sudah divaksin. Setakat ini tidak ada kematian yang dikaitkan dengan vaksin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dagang (Kanowit-GPS) menjawab soalan Kelvin Yii (Bandar Kuching-PH), yang bertanya tentang jumlah kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19.

Beliau turut bertanya tentang punca kematian semua penerima vaksin dan parameter digunakan untuk mengenal pasti sama ada kematian itu secara langsung disebabkan vaksin atau tidak.

Dagang berkata daripada 607 laporan diterima, siasatan dan penilaian 451 sudah lengkap dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19.

“Semua laporan berdasarkan kepada ujian klinikal dan bedah siasat adalah maklumat sulit, tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Hanya waris terdekat boleh memohon untuk mendapatkan maklumat. Kami juga ada pasukan terdiri daripada pelbagai pakar untuk menyiasat kematian ini.”

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), jumlah kematian dilaporkan semalam meningkat daripada 95 kelmarin kepada 105, dengan 29 pesakit meninggal dunia di luar hospital.

Jumlah kematian akibat Covid-19 pada masa ini 34,099 kes. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen