Tiada kematian dikaitkan dengan vaksin, kata timbalan menteri kesihatan


Noel Achariam Aminah Farid

KKM mengesahkan sepanjang program vaksinasi sehingga 11 Mac ini tiada kes kematian dikaitkan secara langsung dengan mereka yang divaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2022.

TIADA laporan kematian yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 diterima, kata Timbalan Menteri Kesihatan Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata sepanjang program vaksinasi sehingga 11 Mac ini tiada kes kematian dikaitkan secara langsung dengan mereka yang divaksin.

“Sejak program imunisasi, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima 607 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI).

“Laporan ini adalah mengenai kematian yang disyaki dalam kalangan pesakit yang sudah mendapat suntikan vaksin. Setakat ini tiada kematian dikaitkan dengan vaksin itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Aaron (Kanowit-GRS) berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching-PH) yang ingin mengetahui jumlah kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19.

Beliau turut bertanya kepada kementerian mengenai punca kematian bagi semua penerima vaksin dan parameter yang digunakan untuk menentukan sama ada kematian itu boleh dikaitkan secara langsung dengan vaksin atau tidak.

Aaron berkata daripada 607 laporan yang diterima, kira-kira 451 laporan sudah selesai siasatan dan penilaian oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19.

“Beliau juga berkata semua laporan adalah berdasarkan ujian klinikal dan bedah siasat adalah maklumat sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Hanya waris boleh meminta maklumat itu. Kami juga mempunyai pasukan yang terdiri daripada pelbagai pakar untuk menyiasat kematian itu.”

Menurut Kementerian Kesihatan, jumlah kematian yang dilaporkan semalam meningkat daripada 95 pada hari sebelumnya kepada 105, dengan 29 pesakit meninggal dunia di luar hospital.

Kementerian menjelaskan semua kematian yang dilaporkan berlaku dalam sehari, tetapi dilaporkan oleh kemudahan perubatan kepada kementerian dalam tempoh 72 jam.

Angka kematian kini mencecah 34,099. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen