208 kematian dilaporkan di depoh imigresen sejak 2018 hingga Februari 2022


Aminah Farid Noel Achariam

Sebanyak 208 kematian berlaku di pusat tahanan imigresen di seluruh negara sejak 2018 hingga 15 Februari tahun ini dilaporkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2022.

SEJAK 2018 hingga 15 Februari tahun ini, sebanyak 208 kematian berlaku di pusat tahanan imigresen di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said kepada Parlimen hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 25 orang meninggal dunia akibat Covid-19, manakala selebihnya disebabkan penyakit lain iaitu renjatan septik, batuk kering, radang paru-paru teruk, jangkitan paru-paru, komplikasi jantung, denggi, diabetes, sesak nafas dan kegagalan organ.

Ismail menjawab soalan Azalina Othman Said (Pengerang-BN), yang mempersoalkan jumlah kematian yang berlaku di pusat tahanan sejak lima tahun lalu dan langkah diambil oleh Jabatan Imigresen bagi memastikan keselamatan tahanan.

Mengenai perkara ini, menteri berkata 25 pegawai perubatan ditempatkan di semua 18 pusat tahanan di seluruh negara.

Beliau berkata pegawai berkenaan diarah melakukan pemeriksaan pra-perubatan terhadap tahanan sebelum mereka ditahan serta tindakan susulan.

Bagi kes kecemasan, tahanan akan dibawa ke pejabat kesihatan daerah berhampiran dengan diiringi pegawai perubatan dan pegawai imigresen.

“Jabatan Imigresen dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah menempatkan 25 penolong pegawai perubatan gred U29/32 di depoh imigresen seluruh Malaysia bagi memberi rawatan awal kepada tahanan,” katanya.

“Setiap depoh imigresen mempunyai seorang penolong pegawai perubatan, kadet, untuk menguruskan kesihatan tahanan sehingga proses saringan kes kecil dan juga rawatan susulan, menjalani pemeriksaan awal ke atas semua tahanan termasuk kanak-kanak bagi mengenal pasti tahap kesihatan mereka, dan jika berlaku kecemasan, tahanan akan dihantar ke klinik kesihatan daerah atau klinik kerajaan berhampiran,” katanya.

Sementara itu, dalam jawapan kepada Lim Lip Eng (Kepong-PH) mengenai berapa banyak kamera litar tertutup (CCTV) terdapat di dalam bilik di semua pusat tahanan, Ismail berkata kementerian semasa lawatan sudah mengarahkan Jabatan Imigresen memasang CCTV di semua bilik tahanan untuk keselamatan tahanan dan imigresen. – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen