Rakyat miskin bila tua jika keluar KWSP lagi, kata pakar ekonomi


Raevathi Supramaniam

Semalam Putrajaya mengumumkan ia meluluskan pengeluaran khas akaun KWSP sebanyak RM10,000 bagi setiap pencarum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2022.

TERDAPAT cara lain buat rakyat Malaysia menangani masalah tiada wang selain membenarkan pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata pakar ekonomi. 

Mungkin cara lain itu melalui skim anuiti atau kemudahan pinjaman faedah rendah, kata Pakar Ekonomi dari Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng.

Semalam Putrajaya mengumumkan ia meluluskan pengeluaran khas akaun KWSP sebanyak RM10,000 bagi setiap pencarum.

Ini susulan tiga skim pengeluaran sebelum ini yang diperkenalkan kerajaan sepanjang pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

Pengeluaran terbaharu ini didesak ramai orang termasuk ahli politik di kedua-dua belah pihak. Yeoh berkata keputusan Putrajaya menurut desakan itu adalah tidak berhemat dan akan memberi kesan jangka panjang.

“Jika mereka ada simpanan persaraan yang tidak mencukupi, melainkan mereka ada sumber simpanan alternatif, mereka akan tergolong dalam kumpulan miskin pada usia tua. Ini akan membebankan negara kerana akan ada populasi warga emas yang tidak dapat bertahan,” kata Yeah kepada The Malaysian Insight.

“Ini akan menjadi satu isu, ia sudah berlaku secara beransur-ansur, disebabkan oleh populasi yang semakin tua dan pandemik, yang mana simpanan telah berkurangan.”

Kemudahan i-Citra, i-Lestari, dan i-Citra

Kerajaan mula-mula memperkenalkan skim i-Lestari dari April 2020 hingga Mac 2021. Pencarum dibenarkan mengeluarkan maksimum RM500 daripada simpanan Akaun 2 mereka untuk tempoh maksimum 12 bulan.

Secara keseluruhan, RM20.8 bilion telah dikeluarkan oleh pencarum.

Selepas itu skim i-Sinar dari Januari hingga Disember 2021. Ini membolehkan pencarum mengeluarkan RM10,000 daripada simpanan Akaun 1. Secara keseluruhan, RM58.7 juta telah dikeluarkan.

Terakhir, skim i-Citra dari Julai 2021 hingga Februari 2022 membolehkan ahli mengeluarkan sehingga RM5,000 daripada Akaun 2.

Sekiranya mereka tidak mempunyai dana yang mencukupi dalam Akaun 2, mereka boleh menggunakan Akaun 1. Melalui skin ini, RM21.4 bilion telah dikeluarkan pencarum.

Secara keseluruhan, ketiga-tiga skim tersebut, sebanyak RM110 bilion telah dikeluarkan daripada dana persaraan, yang memanfaatkan 7.43 juta pencarum.

Walaupun pada mulanya teragak-agak, namun semalam kerajaan akhirnya mengalah untuk memperkenalkan satu lagi pengeluaran khas RM10,000, berdasarkan keperluan semasa rakyat, walaupun mendapat tentangan daripada dana itu sendiri.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu bagaimanapun menggesa pencarum untuk hanya memanfaatkan simpanan jika benar-benar perlu.

Kementerian Kewangan dan KWSP akan memberikan butiran lanjut tentang cara memohon kemudahan baharu itu. Petang semalam, terdapat laporan di Twitter bahawa aplikasi dan laman web KWSP ditutup, berkemungkinan disebabkan oleh orang ramai yang mengakses laman web tersebut untuk menyemak akaun mereka.

Apakah maksud pengeluaran terbaharu kepada pencarum

Pertama, mengurangkan wang dalam akaun pencarum, bermakna, kurang untuk dibelanjakan dalam umur persaraan mereka.

Sebelum ini KWSP berkata tiga kemudahan pengeluaran terdahulu telah menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam dana persaraan mereka.

Daripada jumlah itu, 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000.

Bumiputera membentuk 78 peratus daripada pemohon. Hasilnya, 4.4 juta – atau 54 peratus ahli Bumiputera – kini mempunyai kurang daripada RM10,000.

Selain itu, dua juta – atau 25 peratus ahli Bumiputera – mempunyai kurang daripada RM1,000.

Ahli ekonomi Yeah berkata ini membawa maksud mereka yang bersara mungkin perlu terus bekerja, atau mencari sumber dana alternatif untuk menyara diri mereka.

“Atau mereka terpaksa mengubah gaya hidup dan menerima pendapatan lebih rendah.

“Akibat langsung yang lain, kumpulan ini akan merosot di bawah garis kemiskinan, di bawah pendapatan sara hidup,” katanya.

Kesan terhadap KWSP

Sementara KWSP mengisytiharkan dividen 6.1 peratus untuk 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pulangan yang lebih tinggi sebanyak 6.7 peratus jika bukan kerana skim pengeluaran itu.

Yeah berkata kesan ke atas dividen untuk 2022 akan bergantung kepada berapa banyak lagi wang yang dikeluarkan melalui kemudahan terkini.

“Sekiranya terdapat pengeluaran yang banyak, KWSP perlu mencairkan beberapa pelaburan dan ini mungkin mengalami kerugian. Ia mungkin memberi kesan kepada prestasi mereka untuk tahun ini,” kata Yeah.

Ini diburukkan lagi dengan perang di Ukraine, tambahnya.

“Pasaran tidak berjalan lancar kerana perang di Ukraine, pasaran kewangan terjejas teruk. Bukan masa yang baik untuk mencairkan aset.

“(Jika KWSP perlu mencairkan aset) ia akan menjejaskan dividen bagi tahun berkenaan kerana pulangan yang lebih rendah dan potensi kerugian yang perlu mereka tanggung serta kehilangan kos peluang melabur dalam pulangan lain yang lebih baik.”

KWSP, yang mengumpul RM2 bilion daripada pencarum sedia ada setiap bulan, bagaimanapun mungkin boleh menggunakan ini untuk menampung pengeluaran baharu, katanya.

Apa yang boleh dilakukan?

Daripada meluluskan satu lagi pengeluaran daripada KWSP, Yeah berkata kerajaan sepatutnya melihat kepada skim alternatif seperti anuiti untuk membolehkan pesara memperoleh aliran pendapatan yang stabil selepas bersara.

“Kita perlu mendidik orang ramai untuk menyimpan cukup untuk anuiti semasa bersara. Jangka hayat meningkat, ini bermakna kemiskinan hari tua akan meningkat secara berterusan.

“Mereka yang belum bersedia, mereka perlu bersedia sekarang. Disiplin itu penting.

“Cabarannya ialah untuk membina simpanan kecemasan. Mereka boleh menumpukan ini dengan menyasarkan tahap perbelanjaan tertentu dan berusaha ke arah mengumpul simpanan yang mereka rancang untuk dimiliki apabila mereka bersara.

“Jika tidak, mereka perlu kurangkan taraf hidup mereka secara drastik.”

Selain anuiti, Yeah berkata memperkenalkan kemudahan pinjaman faedah rendah merupakan idea yang lebih baik daripada memanfaatkan dana persaraan.

“Ia lebih bijak dari segi kewangan untuk meminjam supaya mereka boleh membayar balik secara beransur-ansur.

“Kerajaan sepatutnya mewujudkan dana untuk memberi pinjaman pada kadar subsidi dan memastikan semua ketua isi rumah tidak kehilangan mata pencarian.

“Ia lebih produktif dan membantu daripada membenarkan pengeluaran ini.” – 17 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen