Kerajaan selaras pusat Nadma untuk urus bencana lebih baik


Aminah Farid Ravin Palanisamy

Kerajaan sedang mengkaji penubuhan Nadma di peringkat negeri dan daerah. – Gambar Facebook, 16 Mac, 2022.

PUTRAJAYA kini sedang mengkaji penubuhan pusat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di peringkat negeri dan daerah agar ia lebih bersedia dalam menangani bencana negara pada masa hadapan, Parlimen diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mastura Mohd Yazid, dalam jawapan kepada Hasan Arifin (Rompin-BN) berkata struktur kecil semasa dan kekurangan pegawai menyukarkan agensi itu mempunyai rantaian perintah berpusat.

“Antara kelemahan ketara yang dikenal pasti berikutan banjir baru-baru ini ialah isu rantaian perintah dengan kebenaran melaksanakan mekanisme tindak balas bencana,” katanya.

“Nadma hanya beroperasi di peringkat pusat melibatkan 94 perjawatan pelbagai gred pengurusan dan profesional serta kumpulan sokongan yang menyukarkan koordinasi,” katanya.

Penstrukturan semula Nadma dibuat selepas agensi itu diselar kerana kegagalannya dalam menguruskan banjir Disember, termasuk tempoh kelewatan tindak balas oleh pihak berkuasa.

Selepas banjir, Kabinet pada bulan yang sama memutuskan struktur agensi itu perlu diperkukuh secara menyeluruh selaras dengan peranannya sebagai peneraju hal ehwal bencana negara. – 16 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen