Onn Hafiz angkat sumpah jawatan MB Johor


Adun Machap Onn Hafiz Ghazi (kiri) mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar (kanan), di Istana Serene, Johor hari ini. – Gambar Facebook, 15 Mac, 2022.

ADUN Machap Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah jawatan menteri besar Johor ke-19 di Istana Bukit Serene hari ini, lapor Utusan Malaysia.

Bekas exco belia dan sukan itu menggantikan Hasni Mohamad yang tidak dilantik semula ke jawatan menteri besar selepas pilihan raya negeri hujung minggu lalu.

Hasni memimpin kempen BN yang membolehkan gabungan itu menang 40 daripada 56 kerusi di DUN Johor dalam pilihan raya negeri itu.

Onn Hafiz, 43, merupakan cicit kepada pengasas Umno Onn Jaafar, dan juga anak saudara kepada Hishammuddin Hussein.

Beliau menjadi menteri besar Johor keempat dalam penggal ini sejak pilihan raya umum ke-14 berlangsung pada 2018.

Sementara itu Onn Hafiz dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan kepada Hasni atas pengorbanan pemimpin itu memberi ruang kepada orang muda memimpin Johor.

Beliau berkata pengorbanan Hasni itu  menunjukkan pemimpin itu berjiwa besar kerana yakin kemampuan anak muda.

“Pengorbanan yang dilakukan Hasni untuk memberi ruang kepada orang muda bagi memimpin Johor sesungguhnya bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan beliau.

“Tetapi juga membuktikan bahawa beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambahnya biarpun kini menjadi menteri besar namun beliau akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada Hasni  yang jauh lebih berpengalaman. 

Hasni pula dalam kenyataan ringkas menyampaikan penghargaan kepada negeri itu.

“Terima kasih, Johor,” katanya yang turut hadir dalam istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Bukit Serene.

Pelantikan Onn Hafiz sebagai menteri besar menggantikan Hasni tidak disenangi kalangan pemimpin Umno seperti Shahrir Samad.

Veteran Umno itu berpendapat, Umno menang pilihan raya negeri Johor minggu lalu dengan cemerlang dengan pimpinan Hasni.

Malah ketokohan Hasni itu juga digunakannya untuk menyerang pembangkang sewaktu kempen, katanya yang malu untuk hadir ke perhimpunan agung Umno minggu ini ekoran perkembangan itu.

Sewaktu tampil dalam perbicaraan kes Najib Razak, Onn Hafiz mengaku menjadi pemegang saham Vital Spire Sdn Bhd, salah satu penerima cek dikeluarkan bekas perdana menteri itu menggunakan dana SRC International.

Onn Hafiz berkata cek RM240,000 itu digunakan untuk menggerakkan laman Malaysian Digest pada 2015 atas arahan Najib.

Bekas Adun Layang-Layang menang kerusi Machap dengan majoriti lebih 6,000 dalam pilihan raya negeri minggu lalu. – 15 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen