Shahrir Samad tolak usaha ganti Hasni di jawatan MB Johor


Veteran Umno Shahrir Abdul Samad enggan hadir ke perhimpunan agung parti hujung minggu ini disebabkan malu dengan perkembangan itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2022.

PEMIMPIN Umno Johor menentang rancangan menggantikan Hasni Mohamad dengan menteri besar baharu yang disebut-sebut sebagai Onn Hafiz Ghazi, wakil rakyat baharu kerusi Machap.

Penentangan tersebut dizahirkan veteran parti, Shahrir Abdul Samad yang menyatakan rasa malu untuk hadir ke perhimpunan agung parti minggu ini ekoran perkembangan itu.

“Umno sudah pasti dengan Hasni sebagai MB (menteri besar). Tapi itu tidak cukup kuat. Dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

“Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung Umno Malaysia hujung minggu ni.

“Boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana Umno Johor,” katanya dalam satu tulisan disiarkan di Facebook.

Bekas menteri tersebut mengulas kenyataan Hasni semalam yang mengesahkan akan digantikan di jawatan menteri besar Johor.

Shahrir berkata, perkara itu memalukannya kerana Umno menang pilihan raya negeri Johor minggu lalu dengan cemerlang dengan pimpinan Hasni.

Malah ketokohan Hasni itu juga digunakannya untuk menyerang pembangkang dalam kempen itu, katanya.

“Malu saya. Sepanjang kempen saya ketawakan PN dan PH serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai MB.

“Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah pimpinan Hasni,” katanya.

Shahrir sepatutnya hadir di perhimpunan sebagai jurucakap Umno negeri dan dijangka akan mengangkat isu berkait PRN berkenaan dalam mesyuarat itu.

Hasni dalam kenyataan tidak menamakan pemimpin yang dicadang tetapi banyak pihak menjangkakan jawatan itu akan diberikan kepada Onn.

Onn Hafiz, 43, berpindah kerusi dan tidak mempertahankan Layang-Layang yang dimenanginya pada Mei 2018.

Beliau menang kerusi DUN Machap dengan majoriti 6,543 undi mengalahkan pencabar terdekat calon Perikatan Nasional (PN) Azlisham Azahar dalam pertembungan empat penjuru.

Onn Hafiz cicit kepada pengasas Umno Onn Jaafar, dan juga anak saudara kepada Hishammuddin Hussein.

Hasni memimpin kempen BN yang membolehkan gabungan itu menang 40 daripada 56 kerusi di DUN Johor.

BN sebelum ini mengesahkan Hasni calon menteri besar yang akan dikemukakan kepada Sultan Johor untuk membentuk kerajaan.

Pencalonan Hasni disebut sekali lagi oleh pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi selepas BN sah menang PRN Johor pada Sabtu.

Ahmad Zahid kemudian semalam mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas mengadakan pertemuan ringkas dengan timbalannya Mohamad Hasan di pejabat Umno negeri.

Hasni jadi menteri besar Johor pada Februari 2020 susulan percaturan politik Langkah Sheraton menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan di Putrajaya.

Johor negeri pertama yang bertukar kepimpinan selepas percaturan politik itu, diikuti Melaka, Kedah, dan Perak.– 15 Mac, 2022.


  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen