Dr Mahathir tangisi kehilangan 'anaknya'


DENGAN nada pahit Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam penjualan “anaknya”, Proton, menganggapnya “permulaan penjualan lebih besar” untuk menyelamatkan negara ini daripada hutang.

Dalam satu artikel di chedet.cc, Dr Mahathir berkata beliau sedih Proton yang lahir daripada ideanya dijual bagi membayar hutang negara.

“Ia mungkin permulaan penjualan lebih besar. Proses ini tidak dapat disekat.

“Tiada cara lain bagi kita untuk mendapatkan berbilion ringgit untuk membayar hutang kita. Satu-satunya cara adalah dengan menjual aset kita.

“Dan akhirnya kita akan kehilangan negara kita, sebuah negara hebat, tetapi dimiliki orang lain,” katanya.

Proton ditubuhkan pada 1983 semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir, yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di blok pembangkang, mengkritik Putrajaya yang kemasukan pelabur dan “wang” dari China, menurutnya akan menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Tindakan itu secara meluas dianggap sebagai cara Putarajaya untuk membayar hutangnya bernilai berbilion ringgit akibat skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dr Mahathir berkata, walaupun sangat bersedih dengan penjualan Proton, beliau menjangka rakyat Malaysia gembira menghapuskan “kereta yang menjengkelkan” itu.

Penjualan itu, kata beliau dengan sinis, akan memastikan kejayaan komersial Proton dengan kereta keluarannya terjual di seluruh dunia dengan jenamanya.

Beliau menyamakan penjualan Proton itu dengan  Singapura, bekas negeri di Tanah Melayu yang meninggalkan persekutuan pada 1965.

“Ia akan menjadi seperti Singapura. Rakyat Malaysia berbangga dengan negara dengan bandar hebat ini.

“Jika ia belum dijual, ia mungkin dibangunkan seperti Kuala Kedah atau Kuala Perlis. Kemudian kita tidak boleh berbangga dengan Singapura.

“Sekarang kita boleh berbangga dengan Proton. Dengan wang dan teknologi unggul ia akan bersaing dengan Rolls Royce dan Bentley,” katanya.

Tetapi katanya, beliau tidak boleh berbangga dengan kejayaan yang bukan miliknya atau Malaysia.

“Bila difikirkan semula, jika negara kita dijual kepada orang lain, kepada orang-orang yang sangat kaya dari negara lain, saya pasti negara kita akan menjadi maju juga.

“Ia juga mampu menjadi sebuah negara maju melebihi jangkaan Wawasan 2020. Ia akan menjadi sebuah negara  hebat dengan lebuh raya besar, kereta api berkelajuan tinggi, bangunan pencakar langit, bandar baru yang bersinar dengan lanskap indah.

“Tetapi saya tidak boleh berbangga! Bolehkah saya berbangga kerana dapat hidup di pinggir negara hebat yang dibangunkan oleh pembeli?”

Pemimpin berusia 92 tahun itu berkata, “beliau akan mati tidak lama lagi” dan akan menyaksikan negara dijual kepada orang asing untuk menyelesaikan hutang negara pada tahun-tahun terakhirnya, yang mungkin juga beberapa bulan atau hari sahaja lagi.

Lebih banyak aset tanah, Dr Mahathir berkata, akan dijual untuk menyelesaikan hutang berjumlah “trilion ringgit”.

“Itu adalah apa yang kita lakukan pada masa lalu. Kita menjual sebahagian negara kita. Kita hilang tanah yang kita jual.

“Ini adalah apa yang kita lakukan sekarang. Dan ia apa yang perlu kita lakukan – atau hilang negara kita; seperti kita kehilangan Proton.

“Saya memang lembik. Saya menangis walaupun rakyat Malaysia tidak menitiskan air mata. Anak saya hilang. Dan tidak lama lagi negara saya. Sila maafkan saya,” katanya. – 25 Mei 2017. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen