Pejuang akur, akan perbaiki kelemahan, kata Mukhriz


Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata partinya akur dan menerima sepenuh hati keputusan pilihan raya Johor dan akan perbaiki kelemahan dalam pilihan raya umum nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2022.

PARTI Perjuang Tanah Air (Pejuang) akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata presidennya Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, Pejuang menerima dengan sepenuh hati keputusan PRN Johor dan akan memperbaiki kelemahan sambil mengakui bahawa parti-parti lain lebih bersedia memandangkan mereka berada dalam landskap politik negara lebih lama.

“Mungkin kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan, mempromosikan parti, menjelaskan kepada pengundi apa perjuangan parti serta untuk memperkenalkan calon.  

Kami harus menunjukkan kepada rakyat perjuangan kami supaya parti kami lebih difahami dan diterima dalam proses politik negara,” katanya dalam sidang media mengenai keputusan PRN Johor di Bilik Gerakan Utama Pejuang hari ini.

Mukhriz berkata, Pejuang akan melakukan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum mulai esok.

“Kami akan menyusun strategi dan langkah-langkah untuk menambat hati rakyat, memang ada perkara yang kami belajar dalam PRN Johor ini. Insya-Allah,” katanya. – Bernama, 13 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen