Calon Pejuang mahu sentuh hati pengundi Semerah


Mohd Farhan Darwis

Calon Pejuang Mahdzir Ibrahim berkata politik parti itu yang berasaskan Melayu lebih berpotensi menjadi kerajaan yang lebih stabil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2022.

CALON Pejuang Mahdzir Ibrahim, 46, percaya pendekatan kempen secara lembut yang menyentuh hati nurani pengundi lebih berkesan berbanding kempen agresif yang menyerang pihak lawan.

Anak jati Batu Pahat itu memberitahu The Malaysian Insight, selain kempen tradisional menemui pengundi, turut mendekati pengundi Cina melalui platform Tik Tok dengan ucapan dialek Hokkien.

Walaupun tidak mahir menggunakan bahasa tersebut, Mahdzir yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah itu berkata beliau tetap cuba menyentuh hati pengundi.

“Saya percaya setiap bangsa akan rasa dihargai bila kita cuba memahami sesuatu perkara menerusi bahasa mereka walaupun secara ringkas, itu usaha kita.

“Itu yang penting bagaimana kita sentuh hati mereka dengan pendekatan budaya, bukannya tentang ceramah hentam sana, hentam sini, sekarang rakyat cukup bijak.

“Bahasa Hokkien yang saya gunakan itu adalah untuk menaikkan semangat, untuk menyantuni budaya mereka agar mereka memahami Pejuang merupakan alternatif terbaik,” katanya.

Beliau ditemui di Semerah, pekan kecil di daerah Batu Pahat yang dikenali dalam perjuangan masyarakat tempatan menentang pengganas komunis yang bermaharajalela sekitar tahun 1945.

Dari segi demografinya, majoriti pengundi Semerah yang berbangsa Melayu berjumlah 71%, komuniti Cina pula membentuk sekitar 28% manakala populasi pengundi India sekitar 1%.

Bagi menembusi kawasan kubu BN itu, Mahdzir berkata beliau memanfaatkan pengalamannya bergiat dalam DAP sebelum ini untuk mendekati pengundi Cina di Semerah.

“Pertama sekali itu sebenarnya mesej Pejuang. kita selalu diberitahu Pejuang adalah parti Melayu, namun mesej perjuangan Pejuang sebenarnya untuk semua rakyat.

“Sebab itu kita kempen guna bahasa Melayu dan juga bahasa Cina. Di Semerah populasi terbesar kumpulan Melayu dan Cina, jadi kempen kita kena menyantuni semua kaum, bukan kita nak gimik.

“Malah dalam video itu turut dijelaskan Pejuang berjuang untuk semua rakyat Malaysia,” kata Mahdzir.

Beliau diberi kepercayaan DAP bertanding kerusi Parlimen Tanjung Piai dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dandi tangan Wee Jeck Seng, calon MCA mewakili Barisan Nasional (BN).

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN Johor yang ditetapkan pada 12 Mac ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2022.

Mahdzir mengakui pengalaman bersama DAP memberikan pendedahan kepadanya untuk lebih mengenali budaya kempen komuniti berkenaan untuk mendekati pengundi Cina.

“Saya dah terdedah dengan budaya, cara pendekatan kempen dan isu yang menjadi perhatian kaum Cina.

“Sebagai wakil Pejuang kita harus santuni kaum ini yang mana ia penting sebagai sebuah parti yang bercita-cita menjadi penstabil kepada politik Malaysia,” katanya.

Mahdzir juga berkata, beliau akan menerbitkan lagi siri kempen melalui video pendek berbahasa Cina sepanjang tempoh berkempen yang akan berakhir pada 11 Mac nanti.

“Setakat ini rakan-rakan khususnya pengundi Cina di Semerah rasa sangat gembira, sebab kita menyantuni budaya mereka.

“Sekurang kurangnya kita cuba berbahasa Hokkien untuk sampaikan kempen kita.

“Kita ada beberapa siri lagi (video akan diterbitkan) untuk mendekati kaum Tionghua di Batu Pahat, di Semerah khususnya,” kata.

Peluang sama rata di Semerah

Di atas kertas, setiap parti politik mempunyai peluang untuk menang di Semerah, kerusi yang disandang bekas exco belia, sukan, dan kebudayaan Pakatan Harapan (PH) Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Ini kerana, Khuzzan hanya menang di Semerah pada PRU14 dengan majoriti 98 undi berbanding calon BN waktu itu, Mohd Ismail Roslan.

Pencalonan Khuzzan sekali lagi dalam PRN Johor kali ini dibantah akar umbi PKR dan dizahirkan ketika pengumuman calon oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim di di Batu Pahat minggu lalu.

Semerah dikenali sebagai kubu kuat BN dan gabungan itu tidak pernah tewas sebelum PRU14 dan Mahdzir melihat tiada penolakan ke atas Pejuang dan pengundi juga lebih mesra.

“Tiada jurang. Berbanding dulu (bersama) DAP, nampak ada jurang (dengan pengundi), sebab itu saya nampak peluang di Semerah ini agak seimbang.

“Kempen Pejuang setakat ini belum menerima penolakan khususnya di Semerah, baik daripada pengundi Cina mahupun Melayu.

“Begitu juga di kawasan kubu kuat Umno, kempen Pejuang tiada masalah masuk, pengundi mudah mendekati saya sebagai calon,” kata Mahdzir.

Graduan sarjana muda pengurusan perniagaan dari International Teaching University, Georgia itu percaya Pejuang ada kelebihan kerana tiada dibebankan dengan isu politik seperti parti lain.

“Pejuang belum ada sejarah politk yang boleh mendatangkan keraguan kepada rakyat, contoh Bersatu, PN telah bekerjasama dengan BN di peringkat Pusat, itu mendatangkan kesangsian rakyat.

“Begitu juga PH yang sudah buat MoU dengan kerajaan, jadi rakyat yang benar-benar mahu menolak rasuah merasa ragu.

“Begitu juga PKR mereka anggap sebagai PH tapi bertanding tak gunakan lambang PH,” katanya mengulas tindakan parti itu enggan menggunakan lambang PH seperti DAP dan Amanah.

Tambahnya, semua perkara itu menggusarkan rakyat untuk memilih, tetapi tidak bagi Pejuang yang tidak terikat dengan mana-mana gabungan politik.

“Kita solo, kita yakinkan rakyat sebuah kerajaan stabil boleh dibentuk melalui Pejuang, itu kelebihan saya,” katanya.

Mahdzir Ibrahim berkata Pejuang belum ada sejarah politk yang boleh mendatangkan keraguan kepada rakyat seperti Bersatu, PN bekerjasama dengan BN di peringkat Pusat, itu mendatangkan kesangsian rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2022.

Mahdzir berkata, beliau memilih Pejuang sebagai platform menggantikan DAP atas pegangan parti itu yang dilihatnya berupaya menjadi penstabil kepada politik semasa yang kucar-kacir.

Tambahnya, beliau tertarik kepada Pejuang selepas melihat perubahan landskap politik tanah air yang menyaksikan kerajaan persekutan bertukar dua kali selepas PRU14.

“Tentunya ada perbezaan dengan parti sebelum ini dan sekarang cuma saya sertai Pejuang bukan kerana ada masalah politik dengan parti sebelum ini, saya cuma mengikut perubahan dan keperluan pada masa ini.

“Politik Pejuang yang berasaskan Melayu lebih berpotensi menjadi kerajaan yang lebih stabil berbanding model PH yang sentiasa wujud perbalahan atau perbezaan politik dalam PH.

“Saya memilih Pejuang kerana buat masa ini ia satu parti yang sesuai dengan konsep Malaysia walaupun ada kepelbagaian kaum teras Melayu boleh menjadi penstabil di Malaysia,” katanya.

Kawasan DUN Semerah menyaksikan pertandingan lima penjuru, dalam PRN Johor kali ini.

Selain Mahdzir dan Khuzzan, turut mencuba nasib Mohd Fared Mohd Khalid dari BN, Ariss Samsudin mewakili PN, dan Kamarolzaman Mohd Jidi wakil Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Selain di Semerah, Pejuang juga bertanding di 41 lagi kerusi dari keseluruhan 56 kerusi DUN Johor. – 8 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen