Pejuang akan kaji hutang peneroka jika jadi kerajaan Johor


Mohd Farhan Darwis

Dr Mahathir berkata, jika Pejuang diberi peluang memerintah Johor selepas PRN, mereka akan mengkaji kenapa peneroka Felda masih berhutang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Mac, 2022.

PENGERUSI Pejuang Dr Mahathir Mohamad berjanji parti itu akan meneliti bebanan hutang yang membelenggu peneroka sekiranya diberi peluang memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Bekas perdana menteri itu berkata, Pejuang akan menilai semula hutang peneroka dan mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu.

“Kita tahu banyak janji diberi kepada peneroka Felda kononnya semua hutang mereka akan diselesaikan kerajaan tapi ramai orang Felda masih berhutang.

“Kita akan kaji kenapa mereka masih berhutang, sebabnya mungkin waktu menanam semula pinjam duit dan mereka terpaksa bayar.

“Kita akan nilaikan masalah yang dihadapi mereka dan menentukan jalan yang mampu supaya kita dapat selesaikan hutang mereka,” kata Dr Mahathir ketika sidang media di Felda Ayer Hitam, petang tadi.

Ahli Parlimen Langkawi itu melakukan jelajah di beberapa kawasan Simpang Renggam dalam usaha membantu kempen calon Pejuang yang bertanding dalam PRN Johor.

Felda Ayer Hitam adalah salah satu penempatan peneroka terletak dalam DUN Machap yang ditandingi Ketua Pejuang Johor Shahruddin Md Salleh.

Pada sidang media itu, Dr Mahathir berkata, Pejuang hanya akan menamakan calon menteri besar Johor selepas parti itu menang dalam PRN itu nanti.

“Bagi Pejuang siapa jadi calon itu bergantung siapa menang, kalau bagi nama dia kalah dia tak boleh jadi menteri besar.

“Sebab itu kita tak namakan calon. Kita mempunyai beberapa calon yang bertanding yang mampu memegang jawatan bila kita menang dan insya-Allah rakyat beri kemenangan dan waktu itu kita namakan menteri besar,” kata Dr Mahathir.

Pejuang kata Dr Mahathir juga sedia bekerjasama dengan parti lain yang mempunyai asas sama seperti mereka yang memerangi rasuah, sekiranya keadaan memerlukan untuk mereka menubuhkan kerajaan bersama.

“Kalau ada parti yang sebulu dengan kita memerangi rasuah, kalau pegang prinsip bersama kita rela kerjasama dengan mereka untuk cukupkan bilangan supaya dapat tubuh kerajaan, ada dua tiga parti lagi,” kata Dr Mahathir.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan parti itu. – 3 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen