Syukurlah, manifesto kiri tidak radikal 


Wan Hamidi Hamid

APABILA saya mendengar tentang sebuah dokumen yang bernama Manifesto Untuk 99%, saya terbayang mengenai hal-hal yang ekstrem, radikal dan revolusioner.

Adakah manifesto itu mahu kerajaan memiliknegarakan semua alat pengeluaran negara, bank dan syarikat kewangan, pengangkutan, pendidikan, ladang, stesen TV dan akhbar, dan segala harta negara demi kepentingan rakyat dan pekerja?

Adakah ia akan menghapuskan pemilikan swasta dan hak pusaka bagi membolehkan agihan sama rata untuk semua rakyat dan pekerja? Adakah ia mahu kerajaan menguasai segala bentuk media massa termasuk media sosial dan internet bagi memastikan ia tidak jatuh ke tangan kapitalis?

Atau mungkinkah ia mahu melancarkan revolusi kebudayaan yang bermatlamat menghapuskan Empat Lama, iaitu adat lama, budaya lama, tabiat lama dan pemikiran lama?

Syukurlah, segala sangkaan saya meleset. Ia bukan dokumen sosialis saintifik atau komunis soviet. Ia bukan Leninisme, Stalinisme atau Maoisme. Malah, ia hanyalah sebuah manifesto yang bersifat jalan tengah sosial demokrasi. Ia tidak menyarankan penghancuran sistem pasaran, sebaliknya hanya mahu memperbetulkan dan memperbaikinya bagi menjamin kemaslahatan masyarakat.

Idea utama

Enam idea utama manifesto tersebut yang dikeluarkan oleh kumpulan bernama Gabungan Kiri yang turut dianggotai Parti Sosialis Malaysia itu adalah:

1. Pengagihan kekayaan yang saksama untuk menutup jurang antara kaya dan miskin melalui percukaian yang adil, pelaburan dalam pendidikan dan dasar sosial yang afirmatif. 

2. Pendidikan universiti percuma untuk semua tanpa mengira latar belakang 

3. Gaji mampu hidup (living wage) untuk semua pekerja.

4. Perumahan berkualiti tinggi untuk semua agar mampu dimiliki atau disewa di seluruh negara.

5. Sebuah dana pencen untuk semua dalam bentuk “sovereign wealth fund” untuk dijadikan bayaran pencen sepanjang hayat.

6. Transformasi kepada sebuah ekonomi yang hijau dan berteknologi tinggi. 
 
Jelas ia bukan dokumen yang radikal. Malah, ia hampir senada dengan semua manifesto serta dokumen sampingan Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat) sejak 2008.

Manifesto dan kertas cadangan Pakatan sebelum ini memang bersifat negara berkebajikan, sama ada diterjemahkan sebagai “welfare state” atau “a caring nation”. Matlamatnya sama, iaitu mengutamakan kepentingan marhaen yang mewakili majoriti besar rakyat Malaysia.  

Memang ada kecenderungan segelintir pemimpin PH kepada ekonomi neo-liberal. Malah ada antara mereka yang bermazhab kapitalisme itu terus-menerus mahu mengurangkan cukai korporat dan melindungi syarikat gergasi. Tetapi mereka hanyalah kumpulan minoriti. Majoriti pimpinan PH akur dengan keperluan rakyat marhaen.

Persamaan dan perbezaan

Secara amnya, lebih separuh tuntutan Manifesto Untuk 99% sama dengan hasrat PH yang telah disuarakan di pelbagai peringkat, sama ada di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dalam Bajet Alternatif atau dalam kertas-kertas cadangan manifesto. 

Walaupun tidak semua, banyak persamaan di antara tuntutan PH dan manifesto golongan kiri itu termasuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan:

●    Pembangunan yang mengutamakan rakyat serta lestari;
●    Hak-hak demokratik dan politik;
●    Pengagihan semula kekayaan secara saksama; dan
●    Dasar kebudayaan dan sosial yang inklusif.

Dari segi pembangunan ekonomi, PH kini bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat dalam bidang automasi dan robotik. Ia juga bakal meluaskan pembangunan ke kawasan separa bandar dan luar bandar. Ia mahu lebih ramai rakyat menikmati hasil pembangunan, bukan segelintir orang sahaja.

Dari segi hak demokrasi, pemimpin PH Dr Mahathir Mohamad - yang dibenci oleh segolongan aktivis - telah bersetuju dengan cadangan had tempoh dua penggal perkhidmatan untuk Perdana Menteri. PH juga mahukan kuasa yang lebih besar diberikan kepada Parlimen serta memastikan Jemaah Menteri atau Kabinet yang kuat, dan menjamin Perdana Menteri yang tegas tetapi bukan diktator. Ia juga mahu memastikan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil.

Dari segi agihan kekayaan, PH mahu menghapuskan cukai regresif GST dan memastikan golongan yang menghasilkan kekayaan besar membayar cukai yang sepatutnya. Cukai ini akan digunakan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan rakyat. PH juga akan menjamin hak pekerja agar tidak ditindas oleh majikan.

Dari segi kebudayaan dan sosial, hak wanita, kanak-kanak dan Orang Asal akan lebih terjamin melalui pentadbiran PH manakala sistem pendidikan bakal direformasikan untuk menghasilkan insan yang kreatif, jujur dan bijak, dan bukannya dilatih untuk menjadi pekerja kilang sahaja.

Ini merupakan sedikit sebanyak intisari am perjuangan PH. Walaupun akan tetap ada perbezaan pandangan sesama parti komponen PH, ia lebih realistik dan menjaga kepentingan rakyat berbanding BN. 

Kompromi dan permusuhan

Pentadbiran BN bersifat kapitalisme kroni. Ia terus korup, usang, dan semakin menjauhi rakyat. Ia yakin rakyat boleh dibeli dengan secubit wang ringgit. Kadang-kadang ia lupa bahawa maruah dan harga diri lebih tinggi daripada dedak yang ditaburnya.

Yang penting di sini adalah kerjasama semua pihak untuk membawa perubahan kerajaan yang dapat memastikan kepentingan, keperluan dan kebajikan rakyat dijamin penuh. Dalam kerjasama, perlu ada tolak ansur, mesti wujud kompromi.

Manifesto Untuk 99% tidak mendesak untuk menghapuskan kapitalisme, sebaliknya ia mahu mereformasikan sistem yang ada. Itulah yang sedang diusahakan oleh PH yang mahu mereformasikan sistem pasaran agar ia lebih memberi manfaat kepada golongan 99%. 

Malah, dokumen golongan kiri ini lebih banyak menumpukan soal demokrasi dan kebudayaan serta sosial berbanding pembangunan ekonomi dan agihan kekayaan serta masalah jurang pendapatan/kekayaan. Mungkin idea mereka banyak dipengaruhi idea-idea kebebasan borjuis berbanding sosialis kiri yang lama. 

PH menawarkan jalan tengah. Ia tidak sempurna tetapi ia mampu membawa perubahan. Walaupun perubahan itu mungkin kecil pada peringkat awal, ia merupakan satu permulaan yang baik. Jika PH ditolak semata-mata kerana perbezaan yang kecil, yang akan terus menang adalah Najib dan BN.

Memang ada segelintir manusia PH yang kelam hati dan celupar mulut mereka, namun majoritinya ikhlas dan jujur dalam perjuangan. Yang majoriti inilah yang mahukan demokrasi, keadilan, hak asasi, peluang saksama, dan solidariti. 

Lebih baik kita mencari titik temu persamaan daripada mencari pasal atas titik bengik perbalahan. Daripada bermusuh, lebih baik berkawan. Jika sama-sama mengaku progresif, solidariti harus menjadi asasnya. – 9 Februari, 2018. 

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen