PARTI Warisan Sabah semalam melancarkan aplikasi mudah alih dan laman webnya, “Perjuangan Rakyat” sebagai satu cara untuk menyebarkan berita serta maklumat secara langsung kepada rakyat Sabah.
“Kami berharap rakyat Sabah memuat turun aplikasi ini supaya kami boleh berkomunikasi secara langsung dengan mereka.
“Ia juga usaha kami untuk merayu pengundi muda yang celik teknologi,” kata Bendahari Parti, Terrence Siambun hari ini.
Siambun berkata demikian ketika tinjauan mesra parti itu bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina di Penampang.
Turut hadir ialah Setiausaha parti, Loretta Padua Jr dan Ketua Penerangan, Honorsius Bosuin.
Ahli-ahli parti Warisan telah mula berkongsi maklumat mengenai aplikasi dan laman web itu menerusi pelbagai saluran media sosial, termasuk WhatsApp.
Dalam video yang kini tular di media sosial, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata “Perjuangan Rakyat” mensasarkan sokongan dari rakyat Sabah yang tinggal di negeri itu dan Semenanjung.
“Perubahan tidak semestinya hanya dari Malaysia Barat. Ia juga mesti dari Sabah.
“Saya gesa semua rakan dan penyokong dari Sabah untuk berhubung melalui WhatsApp dan media sosial, melibatkan diri dan bercakap dengan rakan-rakan kita di Semenanjung Malaysia untuk memahami mengapa kita perlu bawa perubahan kepada Persekutuan,“kata Leiking.
Aplikasi itu boleh di dapati di Google Play Store, Apple App Store dan di www.rakyatsproject.org.
Warisan juga akan menggunakan platform-platform ini untuk mendapatkan pandangan orang ramai mengenai isu-isu nasional dan negeri serta perkara mengenai pembiayaan.
Menurut Siambun lagi, pelancaran akan dilakukan oleh Presiden Warisan Shafie Apdal tidak lama lagi.
Berkenaan perkara berasingan, Padua berkata Warisan mungkin akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Mac.
Beliau berkata telah menerima sepucuk surat dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang memaklumkan Warisan supaya mengadakan AGM.
“Kami akan mula (mesyuarat) di cawangan terlebih dahulu sebelum mengadakan mesyuarat peringkat pusat, yang kami jangka pada Mac,” katanya.
Menurut Padua, Warisan mempunyai lebih dari 300 cawangan di seluruh Sabah. – 8 Februari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan