Kenapa SPR enggan beri daftar pemilih PRN Johor, tanya PKR


Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata biarpun sudah sebulan selepas Daftar Pemilih Tambahan diwartakan, SPR masih belum sedia menjualnya kepada pihak yang ingin membeli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2022.

PKR mempersoalkan integriti daftar pemilih untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga hari ini enggan membekalkan senarai pemilih baharu yang akan mengundi.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata biarpun sudah sebulan selepas Daftar Pemilih Tambahan diwartakan, SPR masih belum sedia menjualnya kepada pihak yang ingin membeli.

“Apakah alasan sebenar kegagalan tersebut? Adakah disebabkan data berikut ada terdapat kesalahan atau SPR tidak mahu membekalkan senarai tersebut kepada pihak pembangkang? 

“Atau apa sebenarnya?” tanyanya dalam satu kenyataan.

Daftar Pemilih Tambahan setakat Disember 2021 diwartakan pada 14 Januari 2022.

Menurut Fuziah, SPR sebelum ini menyediakan rang daftar pemilih tambahan pada setiap suku tahun yang dipamerkan kepada umum dan dibekal percuma untuk semakan mana-mana pihak sebelum ia diwarta.

” Akan tetapi amalan tersebut kini tidak lagi diteruskan,” tambahnya.

Fuziah juga berkata unit data Pakatan Harapan yang berkali-kali merujuk pada SPR tidak dibenarkan membeli daftar pemilih berkenaan dengan pelbagai alasan.

Selepas mesyuaratnya menetapkan PRN Johor, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata pilihan raya itu akan menggunakan daftar pemilih induk 2021 yang dikemaskan setakat 21 Januari 2022.

Ia melibatkan hampir 2.6 juta pengundi dengan tambahan lebih kurang 780,000 pengundi baharu berbanding daftar yang dipakai pada Pilihan Raya Umum ke-14.

PRN Johor juga adalah yang pertama sejak pelaksanaan had umur layak mengundi 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik.

Fuziah mendakwa pihaknya juga mengesan beberapa nama pengundi yang pelik seperti “Deseased” dan “Expired”, hasil semakan pemilih di laman web SPR.

“Saya sendiri membuat semakan pemilih di laman web SPR menggunakan sampel nombor kad pengenalan dari daftar pemilih tambahan tersebut. Ternyata aduan tersebut adalah benar,” katanya.

Sehubungan itu, Fuziah menggesa SPR membuat kenyataan terbuka mengenai integriti daftar pemilih yang telah diwartakan itu, dan yang akan dipakai untuk PRN Johor.

“Bagaimana SPR boleh mewartakan sesuatu data melibatkan lebih 5.8 juta pengundi, tetapi dikhuatiri kesahihannya? 

“Adakah PRN Johor akan dikompromi keputusannya kerana terdapat ‘irregularities’ pada daftar pemilih yang telah diwartakan?” tanyanya.

SPR menetapkan 26 Februari untuk penamaan calon PRN Johor sementara pengundian pada 12 Mac. – 16 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen