Dasar diskriminasi sekat peluang bukan Islam, kata Guan Eng


Kerajaan lupa yang mereka adalah pemimpin semua rakyat Malaysia bukan hanya satu komuniti sahaja, kata Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.

DISKRIMINASI dihadapi komuniti bukan Islam disebabkan dasar kerajaan menghalang pembangunan dan bantuan kewangan, kata Lim Guan Eng hari ini.

Lim yang juga setiausaha agung DAP itu mengulas artikel diterbitkan The Malaysian Insight yang melaporkan rungutan komuniti Cina di Terengganu yang diabaikan kerajaan negeri itu.  

“Realiti yang menyedihkan tentang pengasingan dan pengabaian dialami masyarakat Cina adalah hasil dasar perkauman dan pelampau kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional di peringkat negeri dan persekutuan.

“Diskriminasi dihadapi bukan Melayu menghalang mereka daripada pembangunan dan bantuan kewangan, bukan hanya di Terengganu tetapi juga di banyak negeri lain.

“Diskriminasi sebegini bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak berpelembagaan kepada warga dan mereka yang membayar cukai,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Lim lagi, akan timbul persoalan ditanya rakyat yang kebetulan minoriti di Terengganu mengapa mereka tidak diberikan bantuan kewangan sedangkan Malaysia boleh menawarkan bantuan kepada kerajaan pelampau Taliban di Afghanistan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini berjanji untuk membantu Taliban dengan bantuan kemanusiaan dan ekonomi.

Ahli Parlimen Bagan itu juga menuduh Menteri Besar Kedan Sanusi Md Nor dan kerajaan persekutuan bersikap tidak peduli kepada sensitiviti masyarakat bukan Islam.

Kerajaan Kedah diterajui PAS kebelakangan ini memusnahkan kuil Hindu dan mengharamkan kedai judi nombor ekor di negeri itu.

Di Kuala Lumpur pula, penjualan arak di kedai perubatan Cina dan kedari serbaneka juga dihentikan disebabkan larangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Dengan masuk campur amalan lazim perniagaan dan gaya hidup orang bukan Islam, BN dan PN berharap dapat menyembunyikan kegagalan kepimpinan mereka dan tadbir urus lemah bagi meraih sokongan hanya satu komuniti dengan mengabaikan minoriti.

“Kerajaan persekutuan dan negeri BN dan PN lupa yang mereka bukan hanya pemimpin satu komuniti tetapi mewakili semua rakyat Malaysia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.”

Tindakan terbaru kerajaan juga bercanggah dengan slogan Keluarga Malaysia dilaungkan Perdana Menteri Ismail Sabri, tambah Lim lagi.

“Keluarga Malaysia (diperjuangkan) Ismail kekurangan wibawa apabila beliau enggan menghapuskan rasa terpinggir dan terabai komuniti bukan Melayu atau bukan Islam.” – 13 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen