Kapal pencarian MH370, Seabed Constructor 'hilang' 3 hari   


Kapal Seabed Constructor, milik syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat Ocean Infinity diupah oleh kerajaan Malaysia untuk mencari pesawat MH370 menerusi perjanjian "tiada bayaran jika tiada penemuan".– Gambar Youtube, 7 Februari, 2018. 

KAPAL pencarian pesawat MH370, Seabed Constructor hilang daripada radar selama 80 jam tanpa selepas ia dilaporkan menutup Sistem Identifikasi Automatiknya (AIS) tanpa sebarang penjelasan. 

Theguardian.com melaporkan, tiga hari kemudian ia muncul semula di luar lokasi pencarian yang mana ia sedang dalam pelayaran menuju ke hentian untuk mengisi minyak yang dijadualkan di Pelabuhan Fremantle, Australia. 

Pada awal Januari, syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity diupah oleh kerajaan Malaysia menerusi satu perjanjian “tiada bayaran jika tiada penemuan” bagi mencari pesawat yang hilang itu. 

Syarikat itu ditawarkan lebih 39.5 juta pound (RM216 juta) jika ia berjaya menemui pesawat hilang itu dalam tempoh 90 hari.

Seabed Constructor memulakan pelayaran dari pelabuhan Durban, Afrika Selatan pada 2 Januari 2018 dan tiba di lokasi pencarian pada 21 Januari lalu.

Ia memulakan operasi pencarian menggunakan pengimbas sonar pada 22 Januari, namun 10 hari selepas itu kapal berkenaan mematikan sistem AIS tanpa sebarang penjelasan. 

Tindakan mematikan sistem pengesanan kapal AIS itu mencetuskan pelbagai teori konspirasi di media sosial. 

Ada yang berpendapat pesawat MH370 sudah ditemui namun penemuan itu cuba dirahsiakan bagi mengelakkan lokasinya diketahui sehingga bayaran kerajaan disahkan. 

Sementara itu, menurut laporan theguardian.com, ahli keluarga penumpang pesawat malang itu meminta kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity menjelaskan misteri “kehilangan” kapal berkenaan, berikutan spekulasi yang timbul. 

KS Narendran, yang merupakan waris penumpang pesawat MH370, meminta agar pihak berkenaan lebih telus berhubung kehilangan sementara kapal berkenaan. 

“Tiada wartawan atau ahli keluarga penumpang pesawat berkenaan dalam kapal pencarian itu. Saya berharap mereka dapat sertai..Kami terus mengikuti perkembangan dengan harapan. 

“Saya harap pendedahan rasmi yang berterusan diberikan penekanan yang tinggi agar tiada sedikit ruang pun untuk spekulasi, kontroversi atau keganasan konspirasi,” katanya memetik laporan itu. – 7 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen