Tindakan tegas sengaja naikkan harga ayam, telur, kata timbalan menteri


KPDNHEP yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi semua lokaliti di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2022.

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) memberi amaran kepada semua rantaian pengedaran di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong serta peruncit bagi bekalan ayam dan telur ayam, supaya tidak memanipulasi harga bahan makanan itu hingga membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada antara mereka cuba mengambil kesempatan berbuat demikian dengan meletakkan harga lebih tinggi daripada yang dibenarkan kerajaan.

“Jangan salahkan kerajaan jika tindakan tegas dikenakan kepada mereka kerana kerajaan tidak akan berdiam diri dan bertolak ansur dengan mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap keperluan makanan asas ini.

“Saya harap amaran ini diambil perhatian oleh mereka yang berkaitan dengan menghentikan segera perbuatan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran jersi, pengenalan pemain dan penaja Tok Janggut Warriors FC di Agro Resort Jeram Mengaji dekat Selising di Pasir Puteh, Kelantan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan menerima beberapa aduan daripada rakyat terdapat sesetengah pembekal atau pemborong cuba menaikkan harga bahan makanan itu.

“Kerajaan mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang bagi menyelesaikan masalah ini termasuk meluluskan lesen import ayam dan telur dari luar negara bagi menstabilkan harga bahan mentah di pasaran tempatan supaya tidak membebankan pengguna,” katanya.

Semalam, pengarah penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam memaklumkan peningkatan permintaan dan pembelian telur ayam yang mendadak sebelum, semasa dan selepas cuti Tahun Baharu Cina menyumbang kepada gangguan bekalan telur ayam ketika ini.

Beliau berkata, KPDNHEP yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam serta syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi. – Bernama, 5 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen