KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan memberi jaminan harga barangan keperluan asas akan kembali pulih dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.
Timbalan Menteri II Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata ia berikutan kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memberi subsidi kepada pemain industri makanan asas pada Khamis lalu.
“Subsidi itu diberikan kepada pengimport ayam mentah, sayuran, syarikat yang menjual makanan ayam, racun dan sebagainya untuk mengatasi masalah ini.
“Insya-Allah, tidak lama lagi apabila barangan import masuk ke dalam negara kita dengan harga subsidi, kita akan menikmati harga yang sewajarnya dan saya minta kepada rakyat supaya bersabar seketika,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir melawat projek industri asas tani iaitu ‘Pizza Frozen’ yang diusahakan usahawan muda, Nur Hadfina Haifa Che Hussin menerusi jelajah Program Agropreneur Muda di Bandar Satelit, Pasir Tumboh, Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi sekali lagi menegaskan kenaikan harga barangan yang berlaku ketika ini adalah kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
“Sebelum ini ada dakwaan segelintir pengguna media sosial mengatakan harga ayam mentah mencecah hingga RM20 sekilogram. Dakwaan harga itu tidak benar.
“Perkara ini seakan berbaur fitnah yang ingin menggugat kerajaan sedangkan kerajaan begitu cakna dan prihatin terhadap kesusahan rakyat dengan memberi subsidi kepada barangan asas dan sebagainya berbanding negara lain yang tidak mampu untuk memberi subsidi kepada rakyatnya,” katanya. – Bernama, 4 Disember, 2021.
Komen