PBB maklum tindakan AS serang Syria, prihatin kematian orang awam


Setiausaha Agung PBB António Guterres melahirkan kebimbangan terhadap korban awam dalam serbuah Amerika Syarikat yang membawa kepada kematian pemimpin Daesh Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi. – Gambar EPA, 4 Februari, 2022.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres pada Khamis melahirkan kebimbangan terhadap korban awam dalam serbuan AS yang membawa kepada kematian pemimpin Daesh (IS) Abu Ibrahim al-Hashimi al-Qurayshi.

Ketika diminta komen mengenai operasi AS di Syria yang mensasarkan al-Qurayshi, Timbalan Jurucakap Guterres, Farhan Haq berkata: “Kami telah mengambil maklum mengenai pengumuman Presiden AS mengenai kematian pemimpin Daesh Abu Ibrahim al-Qurayshi. Kami juga prihatin dengan laporan mengenai korban awam.”

“Kami menyeru semua pihak agar mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam selaras dengan kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Haq, menurut Xinhua.

Dalam kes menentukan pihak yang bertanggungjawab atas kematian akibat serangan, adalah penting untuk menjalankan siasatan, katanya.

“Daesh melakukan jenayah kejam dan membawa tragedi serta kematian kepada beribu-ribu lelaki, wanita, dan kanak-kanak. Dan kami ingin mengambil peluang ini untuk memperingati mangsa keganasan dan keluarga mereka di seluruh dunia. Seperti yang diketahui, sistem PBB secara keseluruhannya adalah sangat bersepadu dalam usaha untuk bertindak menentang Daesh. Jadi sebarang kejayaan tindakan terhadap mereka adalah dialu-alukan,” katanya.

Al-Qurayshi dilaporkan meletupkan bom yang membunuhnya dan ahli keluarganya semasa serbuan semalaman oleh pasukan operasi khas AS di bandar Atmeh di wilayah barat laut Idlib di Syria. Tiga belas orang dilaporkan terbunuh, termasuk enam kanak-kanak dan empat wanita. – Bernama, 4 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen