Lagi artis ternama tolak Spotify kes penipuan vaksin


DUA lagi artis popular, Joni Mitchell dan Nils Lofgren menyertai Neil Young yang mengeluarkan karya mereka dari Spotify bagi membantah maklumat salah Covid-19 di platform siaran muzik itu.

Agensi berita melaporkan, ia ekoran tindakan Spotify mengekalkan podcast kontroversi The Joe Rogan Experience di platform itu yang didakwa sering menyiarkan maklumat salah Covid-19.

Young pada mulanya mengumumkan, penerbitnya akan mengeluarkan karya beliau dari Spotify kerana “menyebarkan maklumat palsu mengenai vaksin” dan menyebut nama Joe Rogan.

“Mereka boleh pilih antara Rogan atau Young,” kata Young dalam satu surat terbuka yang dilaporkan meluas.

Tindakan itu menyokong gesaan lebih 200 ahli akademik dan petugas kesihatan yang menggesa Spotify menyatakan dasar dan tindakan tegas mengawal penipuan di platform itu.

Spotify pada Rabu bertindak balas dengan pengumuman untuk mengeluarkan seluruh katalog Young, artis popular yang dimasyhurkan dua kali dalam Rock and Roll Hall of Fame.

Young disokong Mitchell yang turut menyelar tindakan individu “tidak bertanggungjawab menyebarkan pembohongan yang meragut nyawa orang ramai”.

Dalam kenyataannya, Mitchell yang mempunyai jutaan pengikut berkata beliau “bersetiakawan dengan Neil Young dan komuniti saintifik dan perubatan seluruh dunia dalam isu ini”.

Lofgren, artis solo yang juga dan anggota kumpulan E Street Band bersama Bruce Springsteen seterusnya mengumumkan tindakan sama mengeluarkan karyanya dari Spotify.

Menurutnya, beliau turut bersetiakawan dengan petugas kesihatan dan saintis yang mahu Spotify menghentikan sebaran penipuan dengan maklumat palsu mengenai koronavirus.

“Apabila perwira yang berhabis nyawa untuk menyelamatkan kita ini meminta tolong, jangan berpaling dari mereka kerana wang dan kuasa.

“Kita perlu dengar dan menyokong mereka,” katanya.

Maklumat kontroversi mengenai vaksin dalam podcast Rogan antara lain ditampilkan dari tetamu yang muncul dalam program rakaman bual bicaranya.

Spotify dilaporkan membayar Rogan AS$100 juta pada 2020 untuk hak eksklusif siaran The Joe Rogan Experience, antara podcast paling popular di platform itu. – 30 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen