PERKHIDMATAN penstriman muzik internet, Spotify berkata mulai awal tahun depan pihaknya akan menggantung iklan politik kerana kekurangan kaedah teknologi untuk mengesahkan sesuatu kandungan itu ekoran kehangatan kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Sputnik.
“Pada masa ini, kami belum lagi mempunyai keupayaan untuk mengesahkan dan mengkaji semula kandungan iklan politik. Kami akan menilai semula keputusan itu kerana pihak kami sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan kami,” menurut ABC memetik jurucakap Spotify pada Jumaat.
Langkah ini tertakhluk untuk produk Spotify yang mempunyai pengguna aktif seramai 141 juta dan tidak menjejaskan kandungan pihak ketiga.
Spotify adalah gergasi teknologi AS terkini untuk menangani isu kempen politik dalam talian.
Twitter telah pun mengharamkan iklan politik manakala Google mengehadkan banyak fungsi iklan itu. – Bernama, 28 Disember, 2019.
Komen