Tangguh dulu naik tarif elektrik, kata pengilang


Presiden FMM Soh Thian Lai berkata ini bukan masa yang sesuai untuk mengenakan sebarang semakan dalam kenaikan tarif terutamanya untuk sektor pembuatan kerana banyak industri masih terkesan daripada wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2022.

PERSEKUTUAN Pengilang Malaysia (FMM) hari ini merayu supaya kerajaan menangguhkan dulu keputusan untuk menaikkan tarif bekalan elektrik memandangkan sektor pembuatan masih belum pulih sepenuhnya ekoran pandemik Covid-19.

Presidennya Soh Thian Lai berkata FMM berpandangan Putrajaya wajar mempertimbangkan semula keputusan tersebut kerana banyak industri belum stabil di tengah-tengah pandemik, terutamanya ketika penularan varian Omicron.

“FMM bersyukur dengan lanjutan setahun di mana tarif asas dan rebat Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) dikekalkan sepanjang 2021.

“Namun, FMM berpendapat bahawa ini bukan masa yang sesuai untuk mengenakan sebarang semakan dalam kenaikan tarif terutamanya untuk sektor pembuatan kerana banyak industri masih terkesan daripada wabak Covid-19.

“Pihak industri sudah pun bergelut dengan penetapan harga inflasi pada hampir semua kos perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soh mengulas kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan semalam, bahawa tarif baru bekalan elektrik untuk tahun ini sehingga 2024 bakal diumumkan sebelum Februari.

Takiyuddin berkata keputusan berhubung tarif baharu itu sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

“Kita telah berbincang dengan kabinet sebanyak enam kali berturut-turut. Alhamdullilah semalam kita telah muktamadkan.

“Jadi saya rasa tak lama lagi kita akan umumkan. Kita akan laksanakan IBR (Kawal Selia Berasaskan Insentif pada 1 Februari bagi tempoh tahun ketiga.

“Jadi anda boleh tekalah bila kita laksanakan, mungkin sebelum dari pengumuman IBR,” katanya kepada pemberita di Dungun, Terengganu semalam. – 28 Januari, 2022.     

Berita penuh di sini


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen