Pengilang dijangka rugi lebih RM180 juta akibat banjir, kata persatuan


Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), hujan lebat bukan sahaja menjejaskan pengeluaran tetapi juga menjejaskan operasi gudang dan logistik kerana ramai kakitangan tidak dapat hadir bekerja sejak jalan menghubungkan Pelabuhan Klang dinaiki air. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember 2021.

PENGILANG di kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini mengalami kerugian hampir RM180 juta, menurut tinjauan yang dijalankan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Syarikat yang terjejas ini bagaimanapun menjangkakan angka ini meningkat berikutan mereka masih belum pulih sepenuhnya daripada banjir.

FMM menjalankan tinjauan dari 22-24 Disember mengenai kesan banjir terhadap ahlinya di negeri terjejas, dengan 92 syarikat mengambil bahagian.

“92 syarikat menjawab bahawa mereka terjejas teruk akibat banjir dengan anggaran kerosakan berjumlah RM178,621,875,” kata presiden FMM Soh Thian Lai kepada The Malaysian Insight.

“Kami menjangkakan kerugian akan lebih besar kerana syarikat hanya dapat menilai kerosakan tepat mereka selepas banjir surut,” tambahnya.

Soh berkata, pengilang di Shah Alam dan Klang adalah antara yang teruk terjejas, mengakibatkan kerosakan besar kepada harta benda, aset dan produk lain serta gangguan kepada operasi pengeluaran dan rantaian bekalan akibat banjir.

Selain itu, ramai pekerja tidak dapat ke tempat kerja kerana lebuh raya utama terpaksa ditutup kerana kesesakan.

Beliau berkata pihak industri merayu kepada kerajaan untuk melanjutkan moratorium bank selama tiga bulan lagi bagi industri yang terjejas akibat banjir memandangkan tahap kerosakan harta benda dan aset.

“Selain itu, kami menyeru kerajaan untuk menyediakan beberapa bentuk geran secara ‘one-to-one’ atau potongan cukai berganda ke atas perbelanjaan untuk membaiki atau menggantikan jentera yang rosak akibat banjir serta membaiki harta benda,” katanya.

Taikun keluli itu menambah, hujan lebat bukan sahaja menjejaskan pengeluaran tetapi juga menjejaskan operasi gudang dan logistik untuk membersihkan kontena import dan eksport, terutama sejak jalan menghubungkan Pelabuhan Klang dinaiki air.

Ini juga menyebabkan ramai kakitangan logistik dan terminal tidak dapat melakukan perjalanan untuk bekerja.

“Dijangka berlaku kelewatan memandangkan syarikat perlu menjadualkan semula penghantaran untuk membolehkan pergerakan barang apabila banjir telah surut dan jalan raya sesuai untuk perjalanan,” katanya.

Tambahnya, beberapa pengilang juga bimbang jika mereka terpaksa menanggung caj penyimpanan dan pemindahan kerana ketidakupayaan untuk mengalihkan kargo mereka dari pelabuhan dan tahanan.

Begitu juga, mereka juga bimbang denda lewat dikenakan berikutan kelewatan memulangkan kontena kosong ke depoh.

“Kami meminta bantuan pelabuhan untuk mengetepikan caj penyimpanan dan pemindahan dan kerajaan campur tangan untuk meminta syarikat perkapalan mengetepikan denda lewat serta penahanan selama tempoh kontena masih tidak jelas dari pelabuhan,” katanya.

Putrajaya mesti beri sokongan kewangan

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Dr Syed Hussain Syed Husman berkata semua sektor seperti pembuatan, pasar raya besar, perdagangan runcit, penghantaran  dan perkhidmatan pengangkutan terjejas akibat banjir.

Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kerugian yang dialami peniaga, namun Syed Hussain berkata kerugian yang bakal dialami majikan di Lembah Klang adalah besar.

“Ini terutamanya apabila kebanyakan peniaga baru sahaja membuka perniagaan mereka selepas ditutup akibat Covid-19,” katanya.

Sependapat dengan Soh, Syed Hussain berkata banjir menjejaskan rantaian bekalan termasuk bekalan barangan pengguna.

“Sebagai contoh, pengguna sukar mendapatkan bekalan roti. Diharapkan perniagaan dapat pulih dengan cepat daripada banjir dan meneruskan operasi mereka dan mengembalikan usaha pemulihan ke landasan yang betul,” tambahnya. – 26 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen