176 tahanan maut dalam tempoh 7 tahun lepas


Elill Easwaran

Menurut statistik polis terbaharu, sebanyak 176 kematian tahanan direkodkan dari 2015 hingga 2021 di mana tahun lepas mencatatkan jumlah maut paling tinggi iaitu 44. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2022.

MALAYSIA telah menyaksikan 176 kematian tahanan dari 2015 hingga 2021, dengan tahun lepas mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 44, menurut statistik polis terbaharu.

Jumlah tersebut bagaimanapun tidak termasuk dua kematian yang berlaku tahun ini.

Kematian ini dipecahkan kepada dua kategori iaitu kematian dalam lokap dan kematian dalam tahanan. Kematian dalam tahanan melibatkan mereka yang telah dipanggil untuk disoal siasat dan juga mereka yang telah direman manakala kematian dalam lokap adalah mereka yang maut di dalam sel.

Dalam tempoh tujuh tahun ini, terdapat 82 kematian direkodkan dalam lokap dan 94 kematian dalam tahanan. Pada 2021, daripada 44 kematian, 14 maut dalam lokap dan 30 lagi dalam tahanan.

Menurut statistik kerajaan, daripada 82 kematian yang direkodkan dalam lokap, 42 adalah Melayu, diikuti India (15), Cina (13) dan warga asing (12). Perangkaan kaum bagi mereka yang maut dalam tahanan tidak disediakan.

Peguam Ganesh Kanagaretnam memberitahu The Malaysian Insight kematian ini sebenarnya boleh dicegah jika orang yang bertanggungjawab dikenakan tindakan.

“Jika Pegawai Penjaga Daerah Polis (OCPD) tidak tahu pelakunya, OCPD perlu didakwa kerana kematian berlaku di bawah pengawasannya.

“Selepas itu barulah pegawai lain akan tahu akibatnya dan akan menghalang sebarang kematian daripada berulang,” katanya.

Tambahnya pegawai polis di Malaysia ada banyak kuasa, seperti yang digambarkan dalam beberapa kes di mana mereka menghalang tahanan daripada bertemu peguam mereka.

“Saya juga nampak corak apabila banduan mati dalam tahanan, pegawai polis hanya akan bercakap mengenai kesalahan yang dilakukan oleh si mati dan bukannya mengenai kematiannya.

“Juga tahun lepas apabila terdapat begitu banyak kematian dalam tahanan, saya tidak pernah nampak perdana menteri masuk campur dan tangani isu ini.

“Jika perdana menteri ambil berat tentang rakyatnya, beliau kena bertindak dan buat sesuatu,” kata Ganesh, yang juga peguam bagi keluarga mangsa kematian tahanan A. Ganapathy.

Ganapathy ditangkap pada 24 Februari 2021 bagi membantu siasatan ke atas dakwaan jenayah abangnya. Beliau dilaporkan ditahan 12 hari sehingga 8 Mac sebelum dimasukkan ke hospital.

Beliau meninggal dunia akibat kecederaannya pada 18 April selepas menghabiskan lebih sebulan di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu.

Keadaan lokap teruk

Sementara itu, jurucakap Kumpulan Tindakan Rakyat terhadap Penculikan (Caged) Rama Ramanathan berkata beberapa mangsa yang maut itu tidak sepatutnya ditahan.

“Sebagai contoh, Benedict Thnilas sangat jelas lemah, dan merupakan seorang pesakit jantung yang sedang menjalani rawatan. Namun beliau ditahan di pusat tahanan Jinjang.”

Benedict ditahan pada 29 Jun 2017, bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah dan ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Beliau ditemui tidak sedarkan diri di dalam selnya pada 10 Julai tahun sama di lokap polis Jinjang dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.

Rama juga berkata, keadaan lokap di Malaysia amat mengerikan.

“Apabila lihat kes S Thanabalan, beliau berada di lokap Shah Alam di mana sistem pengudaraan rosak, tahanan terpaksa minum air dari tandas dan berlaku wabak leptospirosis.

“Pegawai dari Shah Alam yang bagi keterangan semasa inkues memberi gambaran mereka tidak mahu hirup udara di dalam sel,” kata Rama.

Thanabalan ditahan di hadapan SJK (C) Soo Jin pada 29 Mac 2018 atas dakwaan terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.

Beliau disahkan meninggal dunia oleh doktor di Hospital Shah Alam pada 17 April selepas dikejarkan ke sana dari ibu pejabat polis Shah Alam.

Rama juga berkata terdapat begitu banyak kes di mana seseorang telah ditahan selama beberapa hari, kononnya “untuk siasatan,” tetapi tidak ditemu bual oleh pegawai penyiasat.

“Apabila mereka ditahan, ada yang boleh buat perkara yang menjadikan mereka sebagai sasaran hukuman termasuk pengurungan dan pukul.

“Jadi sebahagian besar reman sepatutnya tidak lebih 24 jam,” katanya.

Menurut Rama, untuk mengelakkan penderaan atau kematian dalam tahanan pada masa hadapan, bedah siasat mangsa lengkap dengan semua keputusan analisis perlu dibuat dalam tempoh dua minggu.

“Lantik juga pegawai yang melaporkan kepada ketua polis negeri yang berbeza bagi menyiasat kematian itu.”

Tambahnya ketua hakim negara boleh mengarahkan setiap koroner, pada akhir setiap inkues, untuk menulis surat terbuka kepada ketua polis negara dan Menteri Dalam Negeri bagi menunjukkan kegagalan ketika inkues.

Unit baharu siasat kematian tahanan

Kerajaan juga telah menubuhkan unit siasatan jenayah untuk menyiasat kematian yang melibatkan tahanan.

Unit itu yang bermula pada 1 Januari tahun ini mempunyai 12 anggota polis dan seorang penjawat awam.

Kes kematian tahanan pertama yang dilaporkan untuk tahun ini berlaku pada 13 Januari di mana polis mengesahkan “kematian mengejut” seorang lelaki di lokap ibu pejabat polis Taiping.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad berkata banduan Penjara Taiping berusia 63 tahun itu telah dimasukkan ke dalam lokap untuk perbicaraan mahkamah.

Mangsa didakwa mencuri kenderaan bermotor dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata pada 18 April tahun lalu.

Beliau dibawa dari penjara Taiping ke lokap polis Taiping untuk sebutan pertama kesnya pada 11 Januari. Sebutan kedua sepatutnya didengar pada 14 Januari.

Setakat ini, dua anggota polis telah ditahan berhubung kematian itu.

Pada 16 Januari lepas, seorang lelaki berusia 37 tahun meninggal dunia dalam lokap polis di Kota Baru, Kelantan, ketika ditahan reman atas kesalahan berkaitan dadah di balai polis Pengkalan Chepa.

Polis berkata, tiada sebarang elemen jenayah.

Azri berkata bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah dan punca kematian adalah paru-paru berair.

“Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua kes ini sedang disiasat oleh unit baharu. – 28 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen