SAYA ingin mendesak menteri kewangan supaya menjawab satu isu besar kewangan sekarang yang mungkin akan berulang semula Skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) di Hong Kong.
Saya ingin jawapan mengapakah PNB, Khazanah dan KWSP memberi pinjaman kepada sebuah syarikat perjudian di Hong Kong yang bernama Genting Hong Kong yang kini diisytihar muflis?
Perkara ini dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menerusi kenyataan medianya bertarikh 27 Januari 2022.
Perkara yang dibangkitkan oleh ketua pembangkang Parlimen Malaysia itu perlu dijawab oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Azis dengan segera.
Hal ini penting kerana tiga buah bank Malaysia terkait dalam memberi pinjaman tanpa jaminan kepada sebuah syarikat perjudian di Hong Kong yang kini bangkrap.
Tiga buah bank Malaysia tersebut ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad telah memberi pinjaman berjumlah AS$600 juta (RM2.51 bilion) kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong tanpa jaminan.
Akibat skandal BMF lebih 30 tahun lalu, Bank Bumiputera menghadapi masalah kewangan sehingga kini tidak wujud lagi bank yang bernama Bank Bumiputera.
Kita berasa bimbang hal yang sama, sekarang mungkin berlaku lagi kerana kerajaan melalui PNB, Khazanah dan KWSP adalah pemegang terbesar dalam ketiga-tiga bank tersebut.
Sebagai ahli Parlimen, saya juga berpendirian yang sama dengan ketua pembangkang mempersoalkan satu pertanyaan kepada menteri kewangan yang pernah terlibat dengan sektor perbankan iaitu bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada sebuah syarikat perjudian boleh diberi dengan sebegitu mudah?
Menteri kewangan memberitahu Parlimen yang kerajaan terpaksa menggunakan wang amanah yang tersimpan di dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM5 bilion untuk membeli vaksin melawan Covid-19, kerana atas alasan kerajaan tiada wang.
Tetapi dalam isu pinjaman kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong, bagaimana boleh kerajaan yang bertanggungjawab menjaga amanah duit rakyat di dalam PNB, Khazanah dan KWSP membenarkan tiga bank tersebut memberi pinjaman kepada sebuah syarikat yang kini muflis atau bangkrap di Hong Kong?
Saya menuntut jawapan menteri kewangan iaitu bagaimana pinjaman tanpa jaminan itu sebanyak RM2.51 bilion itu akan dibayar oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis?
Saya melihat ada isu kecuaian dalam perkara ini. Bukan sahaja tiga buah bank Malaysia tersebut cuai dan abai, tetapi juga menteri kewangan yang diberi amanah untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat turut cuai dan abai serta tidak berhemah cermat.
Saya khuatir pinjaman tidak berjamin kepada sebuah syarikat perjudian di Hong Kong yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia itu boleh mengheret tiga buah bank utama Malaysia tersebut akan mengalamai kerugian berbilion ringgit dan seterusnya kepentingan negara dan rakyat di dalam PNB, Khazanah dan KWSP ikut terjejas sama. – 27 Januari, 2022.
* Hassan Abdul Karim, ahli Parlimen Pasir Gudang.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen