Ahli Parlimen tuntut penjelasan Putrajaya isu pinjaman Genting HK


Kapal pelayaran ‘World Dream’ ketika berlabuh di Terminal Persiaran Kai Tak di Hong Kong, China. Kapal antara aset yang dimiliki Genting Hong Kong. – Gambar EPA, 24 Januari, 2022.

PUTRAJAYA perlu menjelaskan sama ada berlaku pemberian pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong oleh tiga institusi kewangan Malaysia yang diluluskan secara melulu, kata Ahli Parlimen Subang Wong Chen hari ini.

Ini berikutan terdapat laporan berita mengatakan Malayan Banking Bhd, CIMB Berhad dan RHB Bank Bhd telah memberi pinjaman tanpa cagaran kepada operator pelayaran bermasalah Genting HK berjumlah AS$600 juta (RM2.5 bilion).

“Kerajaan Malaysia melalui pelbagai agensi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga bank itu.

“Kerajaan sepatutnya menjaga wang pembayar cukai dan peratusan terbesar individu yang bekerja adalah penyimpan KWSP.

“Sehubungan itu, orang ramai berhak untuk mengetahui sama ada pinjaman tanpa cagaran ini diluluskan secara melulu,” kata Wong dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Jurubank yang meluluskan pinjaman ini juga mesti tampil untuk menjelaskan tindakan mereka, tambahnya.

Mengikut rekod pegangan saham setakat 31 Disember tahun lepas, pelabur terbesar Maybank ialah Amanah Saham Bumiputera melalui Amnanahraya Trustees Berhad dengan pegangan 34.01%, diikuti KWSP sebanyak 12.94% dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 7.09%.

Khazanah Nasional ialah memegang kepentingan terbesar dalam CIMB dengan pegangan saham sebanyak 25.7% diikuti KWSP (15.3%), PNB (11.8%) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) sebanyak 6.3%.

Sementara itu, KWSP memegang 42.3% saham dalam RHB, diikuti PNB (6.1%) dan KWAP (5.89%).

Genting HK – sebahagian daripada empayar syarikat Genting Malaysia yang dimiliki jutawan Lim Kok Thay – berdepan kes mahkamah di Amerika Syarikat (AS) berhubung bil bahan api yang tidak dibayar untuk kapal persiaran mewahnya, The Crystal Symphony. – 24 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen