Kerajaan jamin jaga keselamatan, kebajikan Orang Asli, kata menteri  


Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata pelbagai inisiatif telah diambil termasuk bekerjasama Jakoa, Perhilitan dan pemimpin setempat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2022.

KERAJAAN memberi jaminan akan terus menjaga keselamatan dan kebajikan masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan ancaman harimau belang di penempatan mereka di Gua Musang, sejak Disember lepas. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Mahdzir Khalid berkata pelbagai inisiatif telah diambil termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pemimpin setempat.

“Pasukan keselamatan juga melakukan operasi bagi menjaga keselamatan di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan ancaman harimau khususnya di Pos Bihai yang dianggarkan seramai 305 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Pihak Perhilitan telah memasang tujuh perangkap namun tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baru Lembaga Kemajuan Kelantan (Kesedar) 2022 di Gua Musang hari ini. 

Mahdzir berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerusi Jakoa dan pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim turut mengagihkan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli dari semasa ke semasa bagi menampung keperluan harian mereka.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, tiga ekor harimau yang dikatakan berkeliaran di dalam kawasan pentadbiran Pos Bihai iaitu di Kampung Remau, Kampung Bujuk, Kampung Bayor, Kampung Ten’rej, Kampung Salak, Kampung Badak, Kampung Sau dan Kampung Pahong masih gagal ditangkap.

“Dari segi keperluan untuk memindahkan penduduk pula, ia bergantung kepada pihak Perhilitan untuk memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kemeriahan sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau pada 7 Januari lepas.

Pada Jumaat lepas, penduduk di Pos Ber pula berdepan kebimbangan sama apabila harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan itu. – Bernama, 24 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen