Menggembur pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan


Naim Al-Kalantani

Sasterawan Negara Anwar Ridhwan (bersongkok) bersama pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif ASWARA. – 22 Januari, 2022.

ANWAR Ridhwan tidak asing lagi dalam arena kesusasteraan Melayu moden. Beliau kini sudah berusia 72 tahun dan mencapai status septuagenarian.

Untuk menghargai jasa besar beliau sebagai Sasterawan Negara, pihak Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mengadakan satu seminar di Pusat Penyiaran ASWARA untuk mengupas karya-karya drama Anwar Ridhwan.

Melalui seminar ini, sembilan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif hadir dan membentang tiga kertas kerja.

Pembentang pertama membentang mengenai drama Orang-orang Kecil yang pertama kali diterbitkan pada 1990. Drama yang telah diuji oleh zaman ini saya fikir ia kekal relevan untuk dikupas pemikirannya.

Tiga orang pembentang ini, Nurarifah Fatema Khairulsani, Rabiatul Adawiyah Shamsul Kamar, dan juga Aliff Haiqal Roslan mengupas dari sudut arahan pentas yang terdapat dalam drama ini. Mereka dinilai oleh Zakaria Ariffin, seorang tokoh dramawan hebat tanah air.

Bagi saya yang kerdil dalam ilmu teater dan drama ini, saya kagum bagaimana pengkaji dapat menyenaraikan cara watak dikembangkan melalui petanda dalam drama Orang-orang Kecil.

Aksi dan dialog dalam sesebuah skrip drama akan memberi satu tekanan kepada pembaca emosi yang ada dalam sesebuah watak.

Saya fikir drama ini masih tidak lagi beres untuk dikunyah dan digugah. Bahan sastera yang berkualiti mencapai umur 30 tahun sebegini pun masih ada sisi-sisi baru yang dapat dikupas oleh para pengkaji di luar sana. Tiga dekad pun masih ada perkara-perkara baru yang dapat dicari oleh para pengkaji.

Selesai sahaja pembentangan pertama, tiga orang pembentang lain pula mengambil tempat. Mereka terdiri daripada Nik Nur Athirah Mohd Hasmazi, Siti Nurul Hayani Bahanudin, Ain Hidayah Ahmad Bohari.

Ketiga-tiga ini mengangkat pemikiran Anwar Ridhwan melalui drama Yang Menjelma dan Menghilang. Tiga orang ahli panel ini dinilai oleh SM Zakir, seorang pengkritik sastera dan tokoh yang tidak asing lagi dalam mengangkat tema-tema kekuasaan pengarang.

Semasa pembentangan kumpulan ini, ia seperti satu jalinan akrab antara penilai dan pembentang melalui tajuk dan ketokohan penilai. Saya sempat bercanda dengan rakan di sebelah ketika rakan-rakan lain sedang membentang kertas kerja mereka, “Hati-hati dengan Zakir kalau kau nak bentang fasal Michel Foucault dan kekuasaan pengarang.”

Telahan saya benar, pemikiran yang digali dan dikupas oleh ahli kumpulan ini merangkumi tiga pemikiran – politik, Islamik, pemikiran kreatif. Ketiga-tiga pemikiran ini mengangkat kekuasaan pengarang dalam memberi makna dan sisi-sisi pandang baru kepada teks.

Habis sahaja sesi soal jawab mereka bersama SM Zakir. Saya dan dua orang rakan – Norrazila Idris dan Hafiz Fardillah Mohd Rosli. Kami membicarakan mengenai kecelaruan masyarakat dalam Kumpulan Drama Rumah Septuagenarian.

Kami berbesar hati dapat dinilai oleh juri yang tidak asing lagi dalam dunia teater, Fasyali Fadzly yang juga merupakan dekan Fakulti Teater ASWARA. Pembentangan kami meliputi tiga buah drama dalam naskhah ini – Concipies, Mentee Politik, dan Rumah Septuagenarian.

Selain itu, kami turut berasa bangga kerana kamilah orang yang pertama membentangkan mengenai drama ini setelah ia diterbitkan pada tahun lepas. Drama ini masih baru dan tiada lagi kajian terhadap drama-drama ini.

Kecelaruan watak dalam ketiga-tiga drama ini menggambarkan betapa celarunya masyarakat di sekitar kita sekarang. Ia berpunca dari sistem masyarakat, gaya hidup dan juga pandangan alam (worldview). Concipies berlatarkan Covid-19 dan isu ibu tumpang; Mentee Politik berkenaan masalah rasuah; dan akhir sekali Rumah Septuagenarian mengenai pandangan masyarakat terhadap rumah orang-orang tua.
|
Selepas solat Jumaat, kami didendangkan pula dengan forum ringkas mengenai teks-teks skrip drama pentas Anwar Ridhwan. Sesi ini turut dihadiri oleh Anwar Ridhwan dan juga adiguru drama Hatta Azad Khan. Tiga orang tokoh yang menjadi penilai sesi pagi tadi mengambil tempat di hadapan pentas dan sekarang giliran mereka pula untuk berkongsi dengan para pelajar dan penonton.

Saya sangat tertarik dengan pandangan Dekan Fakulti Teater, Fasyali menyatakan bahawa kajian drama boleh melalui pelbagai aspek. Daripada kajian teks kepada subteks dan teruskan kepada konteks. Apabila saya mendengarnya, baru saya teringat bahawa seorang rakan pernah berkata bahawa teks tidak akan lahir dalam ruang hampas. Teks perlu terhasil daripada konteks. Kajian yang dibuat selalunya akan tertinggalnya hal konteks ini.

Sesi diteruskan lagi dengan ucaptama dan perasmian penutup oleh Hatta Azad Khan. Satu jam pentas diberikan kepada beliau dan ucapan yang sangat memberi kesan pada diri saya khususnya. Isinya mudah – kerja-kerja menulis ini adalah kerja yang mulia. Setiap perkara yang terjadi di dalam dunia seni terjadi daripada hasil penulisan.

Beliau memberi galakan kepada kami dengan memberi contoh bahawa fakulti inilah yang akan menjadi tali hubung kepada fakulti-fakulti yang lain supaya mereka terus bergerak. Sebagai contoh, Fakulti Teater akan mencari pelajar daripada Fakulti Penulisan (kami) untuk mencari skrip yang bagus.

Fakulti Tari akan cari kami untuk hasilkan dramatari yang berkualiti. Pelajar filem pula akan mencari kami untuk menghasilkan lakon layar yang memberi kesan dan halus pertukangannya. Jalinan ini menjadikan fakulti ini satu fakulti yang sebenarnya bukan kecil anak, tetapi ia sangat penting dan perlu diangkat.

Kertas kerja kami juga digilap oleh tokoh drama dan teater yang tidak asing lagi, A Wahab Hamzah. Dari penghasilan kertas kerja, sehinggalah kepada pembentangan, beliau memberi percikan idea yang sangat bernas dan juga berguna untuk kami sebagai panel pembentang.

Setiap hasil ketukangan Anwar Ridhwan dipandang tinggi oleh para sasterawan di luar sana. Betapa pun (jika) ada yang tidak bersetuju dengan pandangan Anwar Ridhwan, tidak sesekali dapat menafikan bagaimana kehalusan dan ketajaman karya-karya beliau dalam mengangkat satu-satu hal atau menempelak satu-satu pihak.

Menggembur pemikiran seorang Sasterawan Negara yang memang mengajar kami di dalam kelas menjadikan ia lebih sukar tetapi seronok. Bayangkan kalian perlu membentangkan karya-karya besar dari pensyarah sendiri di hadapan penilai-penilai luar.

Saya kira kegiatan seperti ini perlu digerakkan lagi di luar pagar kampus. Pemikiran Sasterawan Negara bukan hanya bergulat dalam kampus sahaja tetapi ia milik masyarakat awam juga.

Kemungkinan di luar sana, saya tidak dapat sparring dengan tokoh-tokoh drama dan teater.

Program yang berbentuk keperluan bagi kursus Seminar Cereka ini sangat memberi kesan besar dalam pengalaman hidup kami amnya. Pengalaman seperti ini tidak dapat saya ulangi lagi. – 22 Januari, 2022.   

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen