Budaya politik Bumiputera di Sarawak dan pemilihan PBB


Awang Azman Awang Pawi

DI sebalik kepanasan suhu politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tempoh 100 hari, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tetap mengadakan pemilihan parti pada konvensyen tiga tahun sekali yang akan berlangsung pada 8 hingga 11 Februari ini. Inilah satu-satunya parti politik Malaysia yang  berani mengadakan pemilihan parti menjelang PRU.

Ini menunjukkan bahawa parti itu sangat ampuh dan sangat yakin PBB sebagai tulang belakang Barisan Nasional Sarawak mampu menyapu bersih kesemua 15 kerusi parlimen yang akan ditandinginya. Untuk rekod, pada PRU13 PBB memenangi kesemua kerusi mereka.

Namun, apabila diteliti ternyata pemilihan untuk jawatan Naib Presiden sahaja dilakukan. Sebaliknya, jawatan utama tidak dipertandingkan atas dasar politik muafakat PBB. Dalam konteks politik, muafakat ini semacam ada persetujuan jawatan-jawatan tertentu tidak dipertandingkan lebih-lebih lagi pencalonan yang dikemukakan sama dengan jumlah kuota jawatan yang ada.

Budaya setia dan kompromi

Dalam konvensyen PBB, ada jawatan utama yang tidak dipertandingkan. Pengerusi Tetap PBB merangkap Speaker Negeri Sarawak, Amar Mohd Asfia menegaskan baru-baru ini bahawa jawatan presiden parti unik, tidak boleh dipertandingkan dan tidak boleh dicabar. Ini sesuai dengan Artikel 15 (7) perlembagaan parti kerana selepas dilantik menjadi Ketua Menteri di bawah Perlembagaan Negeri, Ketua Menteri secara automatik menjadi presiden parti (PBB).

Jawatan Timbalan Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)  juga tidak akan dipertandingkan pada Persidangan Perwakilan Tritahunan parti  ini. Tujuannya ialah untuk mengukuhkan lagi dan mengelakkan perpecahan. 

Jawatan Timbalan Presiden diisikan oleh Awang Tengah Ali Hasan dan Douglas Uggah Embas yang mewakili sayap Bumiputera dan Pesaka. Sayap Bumiputera mewakili Bumiputera Islam manakala Pesaka mewakili etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. Asalnya hasil gabungan parti bumiputera dan Pesaka dibentuk menjadi PBB pada Januari 1973. Analisis ini mengkhusus perubahan dan kesinambungan dalam sayap politik bumiputera.  

Jawatan Ahli-ahli Majlis Tertinggi Pemuda (Bumiputera) seramai 13 orang juga tidak ditandingi. Begitu juga 16 Ahli Majlis Tertinggi juga tidak ada pertandingan. 12 Ahli Majlis Tertinggi Wanita juga tidak ditandingi.  

Hal ini berlaku kerana buat pertama kali dalam sejarah, kesemua nama dicalonkan tidak melebihi  kuota jawatan yang ada. Inilah bentuk politik terancang atau demokrasi terancang dalam budaya politik PBB yang tidak mungkin berlaku pada parti lain seperti Umno.

Bertukar jawatan 

Apabila terdapat pembahagian sayap Bumiputera dan Pesaka, sering kali berlaku pertukaran dalam menyandang jawatan. Dalam budaya politik PBB, apabila Ketua Wanita disandang oleh sayap Pesaka, sayap Ketua Pemuda pula akan dilantik daripada sayap Bumiputera. Ia semacam suatu persefahaman yang diterima pakai dan tidak dipertikaikan selama ini.

Justeru, pada sesi 2017-2020  ketua Wanita PBB Empiang Jabu akan diambil alih oleh Fatimah Abdullah manakala  Gerald Rentap pula mengambil alih jawatan Ketua Pemuda yang sebelum ini disandang oleh Fadillah Yusof. Persefahaman politik ini membantu mengukuhkan parti dan mengelakkan persaingan yang bersifat perkauman. 

Menang tanpa bertanding

Jawatan Naib Presiden Kanan dimenangi oleh Fadillah tanpa bertanding apabila tidak ada pencalonan lain. Hal ini menunjukkan kesemua 82 cawangan PBB memberikan kepercayaan kepada beliau yang juga Menteri Kerja Raya untuk menyandang jawatan tersebut. 

Sebelum ini nama Abdul Karim Hamzah disebut-sebut untuk bertanding ke jawatan tersebut. Namun beliau sendiri mengesahkan tidak mahu bertanding dan mengaku telah berunding dengan Fadillah bagi memastikan perpaduan dan keutuhan parti dengan memberikan laluan kepada menteri persekutuan itu. Karim lebih berminat bertanding jawatan naib presiden. Namun ada yang percaya bahawa terdapat  seru kuasa politik lebih tinggi dalam politik terancang ini. 

Pertandingan ikut zon atau prestasi?

Berdasarkan konsep politik muafakat PBB dan “demokrasi terpimpin,” hanya jawatan Naib Presiden sahaja yang bakal ditandingi. Terdapat tujuh calon akan bersaing untuk menduduki empat kekosongan kerusi tersebut. 

Tujuh calon yang bakal bertanding jawatan Naib Presiden ialah Talib Zulpilip (68 tahun), Len Talif Salleh (67 tahun) Julaihi Narawi (63 tahun), Abdul Karim Hamzah (58 tahun), Dr Abdul Rahman Junaidi (57 tahun), Dr Annuar Rapaee (55 tahun), dan Dr Abdul Rahman Ismail (55 tahun). Kesemua mereka berstatus Menteri penuh dan Menteri Muda.

Pertandingan jawatan naib presiden PBB ini dapat dilihat daripada dua perspektif. Pertama, ia berdasarkan prestasi dan rekod calon yang boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai calon yang layak dan berprestasi tinggi di mata perwakilan. Ini termasuklah dari segi idea, visi, kelantangan bersuara, mesra rakyat, banyak membantu menyelesaikan isu-isu rakyat dan mampu dilihat sebagai pemimpin masa depan.

Profil pengundi perwakilan ialah kebanyakannya berumur bawah 60 tahun. Setiap PBB cawangan menghantar 15 orang AJK cawangan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili PBB manakala sebanyak 10 AJK perwakilan dihantar bagi DUN bukan diwakili PBB. Jadi, terdapat sekitar lebih seribu perwakilan berpeluang untuk memilih. 

Yang kedua, pemilihan ini perlu berdasarkan wakil-wakil dari setiap zon di Sarawak yang dibahagikan kepada zon selatan, tengah dan utara. Zon selatan dari Tanjong Datu hingga ke Sri Aman. Zon tengah kawasan lembah Rejang-Sibu manakala zon utara ialah zon Miri-Limbang. Inilah rasional bahawa perlunya wakil setiap zon agar dapat menjaga kepentingan pembangunan setiap pembahagian wilayah. 

Namun ada juga berpandangan pemilihan perlu berdasarkan prestasi dan bukannya berdasarkan kriteria wakil zon. Apapun pandangan, terpulanglah kepada perwakilan untuk memilih secara bijaksana.

Hieraki bukan jaminan

Hierarki dalam PBB bukan faktor mutlak penentu pelantikan jawatan Ketua Menteri, sekiranya jawatan tersebut kosong. Apabila sistem pemilihan kaukus PBB diperkenalkan pada tahun 2002, antara lain mengesyorkan jawatan ketua menteri tidak semestinya bergantung pada hierarki parti. Hal ini terbukti apabila Adenan Satem dilantik menjadi ketua menteri yang ketika itu hanyalah Naib Presiden Kanan PBB dan memegang jawatan ketua penerangan PBB.

Namun dalam budaya politik PBB, mereka lebih selesa menyerahkan budi bicara presiden parti untuk membuat keputusan. Hal ini dilakukan atas semangat perpaduan dan kekeluargaan agar peralihan kuasa berjalan lancar. 

Jalan lain ke hieraki kuasa

Selain itu, pelantikan ketua menteri Sarawak boleh menggunakan peruntukan Perlembagaan Negeri Sarawak sebahagian daripada Perjanjian Malaysia 1963. Di bawah Perkara 6(3)(a) Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukan kuasa kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak untuk memilih Ketua Menteri daripada kalangan Adun Sarawak.

Menurut peruntukan tersebut, ia berdasarkan penilaian Yang Dipertua Negeri Sarawak yang merumuskan bahawa seseorang Adun itu mendapat keyakinan majoriti anggota DUN untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak. Pelantikan Abang Johari misalnya, menggunakan peruntukan Perlembagaan Negeri Sarawak tersebut.

Berdasarkan penelitian ini, maka dapat dirumuskan bahawa politik PBB di Sarawak merupakan suatu bentuk demokrasi terancang dan terpimpin yang berteraskan politik muafakat. Formula politik ini sebenarnya telah dimurnikan oleh Abdul Taib Mahmud berdasarkan pengalaman berdepan pergolakan politik yang berlaku pada sebelum dan semasa era pemerintahannya sebagai Ketua Menteri Sarawak. – 5 Februari, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen