Beberapa kampung Orang Asli Pahang kini dilengkapi tandas


Aminah Farid

Nordin dari suku Jakun berjalan di sebelah tandas yang baru dibina di kampung Cerampak di Muadzam, Pahang Isnin lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Januari, 2022.

LEBIH 10 perkampungan Orang Asli di Rompin dan Pekan akhirnya mempunyai kemudahan tandas baharu, yang dibina sendiri menerusi bantuan kumpulan masyarakat sivil, The Global Peace Foundation (GPF).

GPF merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang bermatlamat membina masyarakat Orang Asli berdaya tahan dan bersatu padu.

Yayasan itu menyediakan panduan dan bahan binaan untuk tandas yang kini memberi manfaat kepada 350 penduduk kampung Orang Asli di Rompin dan Pahang.

Ketua Eksekutifnya, Dr Teh Su Thye, yang membawa pasukan The Malaysian Insight melawat kampung-kampung ini, berkata pasukannya akan menjalankan penilaian keperluan terlebih dahulu untuk melihat keperluan setiap kampung selain projek air solar yang telah dilakukan pasukannya untuk Orang Asli pada 2016.

“Bagi setiap kampung yang kami rancang untuk melaksanakan projek, kami akan kumpulkan dahulu kampung untuk membuat penilaian keperluan, di mana pada dasarnya kami bertanya sama ada mereka berminat dengan tandas, dan apakah cabaran mengamalkan pembuangan air besar secara terbuka.

“Dan, apabila anda melihat mereka berminat, kami juga bertanya kepada mereka sama ada mereka sanggup meluangkan masa dan usaha untuk membina tandas.

“Kami akan mengajar mereka tetapi mereka perlu komited untuk melakukannya. Itu syarat terpenting.

Seorang pemuda Orang Asli daripada suku Jakun membina tandas di kampung Terubing dekat Muadzam, Pahang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Januari, 2022.

“Kami tidak membinanya untuk mereka, tetapi kami mengajar mereka dan membiarkan mereka mempunyai pemilikan terhadap tandas atau bilik mandi kerana mereka membinanya sendiri,” katanya sambil menambah ini adalah untuk memperkasakan mereka belajar membina perkara lain pada masa depan.

“Jadi peranan kami adalah untuk menyediakan mereka dengan bahan-bahan untuk tandas dan pada dasarnya membimbing mereka sepanjang proses itu.”

Teh berkata, pasukannya akan berbincang dengan penduduk kampung tentang menggali lubang untuk sistem kumbahan mereka dari tandas, membincangkan saiz setiap tandas serta lokasi yang selesa untuk penduduk di setiap kampung.

Katanya, mereka juga mengajar penduduk kampung tentang kepentingan menjaga kebersihan.

Kehidupan menjadi lebih mudah

Sejak 10 tahun lalu, GPF telah bekerjasama dengan pelbagai komuniti miskin di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Projek tandas di Pahang bermula Oktober tahun lalu dan hingga kini, sekurang-kurangnya 10 perkampungan Orang Asli mempunyai tandas sendiri.

Salim dan keluarganya sudah biasa berjalan jauh ke dalam hutan di Kampung Cerampak, Rompin untuk menyahut seruan alam.

Tetapi buat pertama kalinya pada Oktober 2021, keluarga Salim dan beberapa perkampungan Orang Asli lain di Pahang kini mempunyai akses tandas yang mereka bina sendiri.

Walaupun akses kemudahan tandas di rumah adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang, namun ia masih menjadi kemewahan bagi sesetengah masyarakat, terutamanya Orang Asli, yang membuang air besar secara terbuka sama ada di hutan atau sungai.

“Pada mulanya, kami agak tidak pasti tentang cara membina tandas, tetapi selepas asasnya diletakkan, kami mempunyai idea yang lebih jelas dan lebih mudah untuk membinanya,” kata lelaki berusia 43 tahun itu yang telah menetap di Kampung Cerampak, Rompin bersama isteri, empat anak dan tujuh cucu selama lebih 20 tahun.

Kampung ini terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit kira-kira lapan kilometer dari bandar.

Pak Salim yang bekerja sambilan memberitahu The Malaysian Insight bahawa beliau telah membina tandas hanya dengan bantuan isterinya, Nora, dan anaknya, Ann.

Katanya, mereka bertiga mengambil masa kira-kira sebulan atau dua bulan untuk menyiapkan tandas itu.

“Kami terpaksa membahagikan masa antara bekerja dan membina tandas,” katanya.

“Dengan tandas ini, ia benar-benar mewah. Sebelum ini, kami perlu masuk ke dalam hutan yang sangat membimbangkan pada waktu malam kerana kami terpaksa masuk hanya dengan lampu suluh untuk menggunakan tandas.” – 20 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen