SURUHANJAYA Sekuriti (SC) perlu mendedahkan proses dan hasil siasatan kes Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki kepada awam, kata pemerhati.
Mereka berkata keputusan SC yang “tiada pelanggaran undang-undang berlaku dan kesimpulan tidak dapat dibuat” boleh mencetuskan rasa tidak percaya rakyat dan menimbulkan tanggapan yang SC berdepan tekanan SPRM.
Beberapa pemerhati juga berpandangan yang keputusan SC adalah satu lagi contoh mengapa wujudnya keperluan siasatan bebas dalam kes Azam.
Soal bagaimana Azam mampu membeli saham bukanlah masalah selagi mana beliau dapat menunjukkan sumber dana untuk pembelian itu, kata pemerhati lagi.
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas pengerusi Lembaga Penasihat SPRM berkata adalah “menyedihkan” yang SC tidak mampu menyelesaikan isu mudah itu.
“Saya fikir jika inilah yang SC dapat putuskan dalam apa yang boleh dianggap perkara jelas dan terang, ia memang menyedihkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Mereka sepatutnya mampu membuat keputusan berasaskan garis panduan sedia ada SC tentang isu penggunaan akaun urus niaga saham orang lain. Jika mereka tak mampu buat, maka jelas memang ada benda tak kena.”
Keputusan SC juga boleh menghakis keyakinan pelabur ke atas kemampuannya menyelia pasaran saham, tambahnya.

SC hari ini memaklumkan ia sudah selesai menyiasat kes Azam mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).
Peruntukan itu menetapkan sesebuah akaun urus niaga saham hendaklah dibuka atas atas nama pemilik sekuriti atau penama yang diberi kuasa.
“SC sudah menamatkan siasatannya dan berdasarkan keterangan yang ada, SC tidak dapat merumuskan dengan muktamad adanya pelanggaran Seksyen 25(4) SICDA,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataannya.
SC bagaimanapun tidak menyatakan langkah seterusnya memandangkan tiada keputusan muktamad dibuat.
Azam berdepan tekanan awam selepas beliau didakwa memegang saham di dalam dua syarikat tersenarai awam pada 2015 ketika menjadi ketua siasatan SPRM.
Beliau didakwa memiliki 2.15 juta saham di dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham di dalam Gets Global Sdn Bhd pada tahun sama serta 1.02 juta saham lagi pada tahun berikutnya.
Beliau bagaimanapun memberitahu Lembaga Penasihat SPRM yang melepaskannya daripada sebarang salah laku yang saham itu dibeli oleh adiknya, Nasir, menggunakan akaun urus niaga miliknya.
Saham itu kemudiannya dipindahkan kepada adiknya.

Beberapa pengkritik turut mempersoalkan bagaimana Azam mampu membeli saham tersebut dengan gajinya selaku penjawat awam.
Menurut Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kesemua saham itu dikatakan bernilai RM330,000.
Bagaimanapun, Tunku Aziz berkata jumlah wang terlibat bukanlah soal utama selagi mana Azam mampu menjelaskan sumber dana itu.
Menurut Tunku Aziz lagi, tidak ada peruntukan undang-undang yang menghalang penjawat awam daripada memiliki saham, tetapi kes ini menimbulkan persoalan tentang kemampuan Azam menilai keputusan diambilnya.
“Saya tak kata dia bersalah tetapi saya mempersoalkan penilaian keputusan dibuatnya. Benarkan adik guna akaun dia adalah tindakan bodoh. Orang akan kata dia guna adiknya untuk menyembunyikan tindakan (salahnya). Itu adalah tanggapan.
“Bila anda ada jawatan, wujud pertimbangan etika dan moral. Ini adalah keseluruhan persoalan tentang integriti.
“Ada orang berjawatan tinggi dalam kerajaan lupa yang integriti bukan lagi hanya untuk orang tertentu yang besar jiwanya, ia sudah menjadi keperluan kritikal untuk kehidupan (penjawat) dalam kerajaan serta korporat.
“Mereka beri peluang kepada pesaing dan musuh untuk mempersoalkan integriti mereka.” – 18 Januari, 2022.
Komen