Kematian tahanan di lokap Pengkalan Chepa tiada elemen jenayah, kata polis


KEMATIAN seorang tahanan dalam lokap di Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu kelmarin tidak melibatkan sebagai elemen jenayah, kata polis.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad berkata hasil bedah siasat menunjukkan tahanan itu meninggal dunia akibat paru-paru berair.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan atau elemen jenayah dan punca kematian adalah paru-paru berair.

“Kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) akan meneruskan siasatan dari semua sudut sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut, tambahnya.

Kes kematian dalam lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu itu membabitkan seorang lelaki berusia 37 tahun yang ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lelaki itu ditahan reman selama empat hari sehingga 19 Januari ini atas perintah yang dikeluarkan majistret di Kota Bharu.

Kes ini berlaku hanya beberapa hari selepas seorang tahanan berumur 63 tahun meninggal dunia dalam lokap di Taiping, Perak.

Lelaki itu menunggu kesnya dipanggil di mahkamah pada 14 Januari.

Lelaki itu didakwa atas tuduhan mencuri kenderaan motor dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata pada 18 April tahun lalu.

Dua anggota polis dan dua tahanan ditahan reman untuk siasatan sehingga 20 Januari. – 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen