Siasat sumber dana Azam Baki, kata bekas pengerusi LPPR


Ravin Palanisamy

Azam Baki didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2015 dan 1.02 juta saham pada 2016.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

PIHAK berkuasa mesti menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengenai sumber dananya untuk membeli saham, kata Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Bekas pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM itu berkata, Azam mungkin menggunakan adiknya Nasir untuk menyembunyikan kegiatan rasuahnya, jika ia benar berlaku.

“Pihak berkuasa patut menyiasat dakwaan terhadap Azam dan mengetahui bagaimana dan dari mana beliau mendapat wang untuk membeli semua saham itu.

“Daripada pengalaman, ini boleh digunakan sebagai instrumen untuk menyembunyikan kegiatan rasuahnya.

“Dalam erti kata lain, gunakan adiknya untuk menangani (kegiatan rasuahnya),” kata Tunku Aziz kepada The Malaysian Insight.

“Sebab (katakan) walaupun membenarkan adik anda mengendalikan akaun anda adalah sah tetapi ini boleh ditafsirkan sebagai alat untuk menyembunyikan aktiviti rasuahnya sendiri.

“Dalam erti kata lain, wang rasuahnya disimpan di situ tetapi apabila orang bertanya kepadanya, beliau kata itu bukan miliknya, itu kepunyaan adik saya.

“Jadi, ini memerlukan lebih daripada sekadar penjelasan,” katanya.

Azam didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya.

Panel penasihat SPRM, yang diketuai Abu Zahar Ujang, membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.

Azam memberitahu media beliau membenarkan adiknya, Nasir menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham daripada dua syarikat itu.

Suruhanjaya Sekuriti mengumumkan mereka akan menyoal Azam berhubung pemilikan saham korporatnya dan kemungkinan pelanggaran peraturan, kerana beliau mengakui adiknya Nasir menggunakan akaun dagangan sahamnya.

Menurut Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda) menyebut semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan kontroversi pemilikan saham ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Penasihat DAP Lim Kit Siang lantang meminta ketua SPRM untuk hadir secara sukarela di hadapan PSSC.

Minggu lalu, Azam menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan ketika tekanan semakin memuncak untuknya berbuat demikian berhubung kontroversi pemilikan sahamnya.

Beliau mendakwa hanya Yang di-Pertuan Agong boleh menamatkan perkhidmatannya. – 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Betul. Dari mana duit itu?

    Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan