Hanya Agong boleh tentukan nasib saya, kata Azam Baki


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki hari ini berkata beliau tidak akan meletak jawatan hanya kerana diberi tekanan berbuat demikian susulan kontroversi pemilikan saham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2022.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini berkata beliau tidak akan meletak jawatan hanya kerana diberi tekanan berbuat demikian susulan kontroversi pemilikan saham.

Sebaliknya, beliau berkata hanya Yang di-Pertuan Agong boleh menamatkan khidmatnya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Menurut laporan Sinar Harian, Azam meminta semua pihak bersabar kerana kebenaran akan terbongkar akhirnya nanti.

“Saya tetap dengan pendirian saya untuk tidak meletak jawatan kerana tiada keperluan untuk saya berbuat demikian.

“Hanya seorang saja yang paling layak untuk memecat saya iaitu Yang di-Pertuan Agong,” katanya dipetik berkata.

Azam berkata selain keputusan Agong, beliau tidak peduli dengan desakan pelbagai pihak untuknya meletak jawatan.

Katanya, beliau menyerahkan dirinya kepada jawatankuasa-jawatankuasa SPRM untuk menyiasat dan percaya kebenaran akan diketahui semua orang satu hari nanti.

Beliau meminta semua pihak bersabar kerana kebenaran akan terungkap tidak lama lagi.

Katanya, beliau sendiri yang akan menunjukkan kebenarannya pada masa dan waktu yang sesuai.

Pada masa ini Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan polis sedang menyiasat Azam berhubung pemilikan saham korporat.

Beliau dilaporkan mempunyai 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, dan 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun sama, selain 1.02 juta saham Gets Global pada tahun berikutnya.

Minggu lalu, SC berkata ia akan menyoal siasat Azam berhubung transaksi itu.

Azam berkata beliau akan memberikan kerjasama kepada SC dalam siasatan berkenaan akaunnya yang digunakan adiknya untuk membeli saham itu. – 12 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen