Wajarkah siasatan sesama sendiri SPRM-SC, soal Gobind


Ahli Parlimen Puchong itu dalam kenyataan hari ini meminta Peguam Negara Idus Harun siasatan antara SPRM dan SC wajar dan meyakinkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

PEGUAM Negara Idrus Harun mesti menjelaskan kewajaran siasatan sesama sendiri antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) melibatkan pegawai tertinggi kedua-dua intitusi berkenaan, kata Gobind Singh Deo.

“Peguam negara mesti menyatakan sama ada wujudnya konflik atau kemungkinan siasatan akan dikompromikan atau dilihat sebagai dikompromikan di dalam keadaan sedemikian,” kata ahli Parlimen Puchong itu dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk laporan berita pada 6 Januari lalu, bahawa SC akan mendapatkan penjelasan Azam berhubung isu pemilikan saham dalam syarikat senaraian awam.

SPRM pada 11 Januari pula dilaporkan menerima aduan berhubung salah laku dan rasuah membabitkan individu tertentu dalam pengurusan tinggi dan lembaga pengarah SC.

“Kelihatan seolah-olah SC dan SPRM sedang menyiasat individu dalam institusi itu antara satu sama lain pada ketika ini,” katanya.

Menurut Gobind, memandangkan Azam mengetuai SPRM maka semua arahan, kawalan dan pengawasan semua perkara yang berkaitan dengan suruhanjaya itu di bawah tanggungjawabnya sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 5 Akta SPRM.

“Adakah peguam negara berpendapat bahawa siasatan dalam keadaan sedemikian adalah wajar dan menyakinkan? 

“Dia mesti juga menerima bahawa sekiranya sesuatu kes diteruskan ke mahkamah sebagai akibat daripada penyiasatan ini, isu yang berkaitan dengan konflik dan kompromi juga boleh timbul yang mungkin ada kesan terhadap perbicaraan itu.

“Peguam negara mesti bersuara dan menjelaskan perihal ini. Adakah ini wajar, dan jika tidak apa yang telah beliau lakukan berurusan dengannya?” soal Gobind.

Azam mendapat perhatian meluas selepas beliau didakwa memiliki dalam dua syarikat senaraian awam. Ketua agensi antirasuah itu mendakwa transaksi saham pada 2015 dan 2016 itu dibuat oleh adik beliau menggunakan akaun dagangannya.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan siasatan antara satu sama lain membabitkan SPRM dan SC ibarat perang saudara dalam perkhidmatan awam, sekali gus menghakis kepercayaan terhadap kerajaan.

Pemerhati berkata mana-mana individu yang terbabit dalam dua suruhanjaya itu perlu bercuti sementara siasatan dijalankan. – 16 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen