Pengundi Ketereh tak percaya lagi pada BN, kata Bersatu


Salhan K. Ahmad

Tahap ketidakpercayaan terhadap Barisan Nasional sangat tinggi pada waktu ini, lebih-lebih lagi apabila pengundi melihat Perdana Menteri Najib Razak bergelut dengan isu yang membelit peribadinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2018.

KETUA Bahagian Bersatu Ketereh, Dr Radzi Jidin yakin pengundi di kawasan tersebut akan mengalih sokongan sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang kerana tidak percaya pada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut pengkaji itu, tahap ketidakpercayaan ke atas BN sangat tinggi pada waktu ini, lebih-lebih lagi apabila pengundi melihat Najib Razak bergelut dengan isu yang membelit peribadinya.

Tambahnya, sekiranya Najib yakin dengan tahap kepercayaan rakyat, perdana menteri itu tidak akan teragak-agak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mendapatkan mandat baharu kerajaan.

Pensyarah perakaunan forensik itu memberi contoh, isu melibatkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang berjumlah RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

“Dulu orang cakap tentang defisit kepercayaan, maknanya orang tak berapa percaya BN. Defisit kepercayaan ini maknanya masih ada kepercayaan, tapi kurang. 

“Tapi ketidakpercayaan ini payah. Ketidakpercayaan ini cukup tinggi, sebab itu sampai sekarang pilihan raya belum dijalankan,” kata Radzi ketika ditemui The Malaysian Insight.

Katanya, masalah ketidakpercayaan itu juga dapat dilihat dalam Umno apabila ramai ahli dalam parti diperhatikannya mengambil sikap berdiam diri dan mengelak daripada mengulas isu.

Beliau melihat, salah satu faktornya adalah rasa hormat di kalangan ahli Umno ke atas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad yang kini giat menyerang Najib.

“Kita tak boleh pandang rendah pengaruh Tun (Dr Mahathir). Dia dalam parti cukup lama, jadi perdana menteri 22 tahun.

“Rakyat yang hidup zaman itu walau ada krisis ekonomi tak ada isu yang libatkan dia sendiri secara peribadi dengan bukti yang jelas seperti Najib, seperti kes RM2.6 bilion yang masuk akaun (perdana menteri).

“Kita boleh bercakap isu itu, isu ini, atau RCI Forex (siasatan Suruhanjaya Diraja ke atas kerugian Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing), tetapi ia tidak masuk ke akaun Dr Mahathir,” tegasnya.

Pengundi cerdik, canggih

Anak kelahiran Ketereh itu juga berkata, beliau yakin pengundi di situ tidak akan termakan dengan usaha BN mengagihkan barang keperluan sewaktu bertemu pengundi dalam kempen pilihan raya.

“Saya selalu beritahu pengundi, BN bagi barang apa pun, ambil. Rakyat faham sumbangan itu sebenarnya disalurkan dengan menggunakan duit (para pengundi) itu sendiri,” kata Radzi yang kini aktif mendekati warga Ketereh melalui program ceramah mini.

Menurut Radzi, sekiranya pengundi termakan dengan budi seperti itu, mereka tidak akan mengubah sokongan dalam siri pilihan raya sebelum ini.

“Umno percaya mereka boleh yakinkan pengundi dengan cara itu, tapi pada saya, pengundi sekarang ini cukup cerdik. Bagi saya, pengundi Ketereh merupakan pengundi yang cukup canggih,” tambahnya.

Beliau berkata demikian dengan mengaitkan pola pengundian yang ditunjukkan pengundi kawasan itu sejak 1999.

Dalam pilihan raya pada tahun itu, pengundi Ketereh buat kali pertama memilih PKR dengan majoriti lebih 4,500 undi. Pada waktu itu, kawasan ini masih dalam kawasan Parlimen Peringat.

Dalam pilihan raya berikutnya tahun 2004, pengundi tersebut memilih BN semula untuk kawasan Parlimen Ketereh, dengan majoriti kira-kira 2,800 undi.

Ketua Bahagian Bersatu Ketereh, Dr Radzi Jidin menyifatkan pengundi di Ketereh progresif dan ia dibukti dengan beberapa pilihan raya sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Februari, 2018.

Pada 2008, Ketereh kembali diwakili PKR dengan majoriti hanya 400 undi dan kemudiannya beralih ke BN sekali lagi pada 2013 dengan majoriti hampir 1,000 undi.

“Trend dalam pilihan raya ini cukup canggih. Nampak saja duduk di kampung, tapi orang cerdik. Sebab itu kita nampak beralih setiap pilihan raya,” katanya. 

Beliau melihat sikap pengundi ini sama seperti di negara dengan demokrasi yang kuat seperti Australia dan Indonesia.

Sikap progresif inilah yang diharapkannya akan dapat diikuti oleh pengundi lain di seluruh negara dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerajaan bukan kerjanya buat jualan murah

“Australia contohnya, tukar perdana menteri dalam masa 10 tahun tujuh kali. Australia tak ada apa (masalah). Kerajaan berjalan. Yang bertukar adalah parti yang menerajui kerajaan.

“Indonesia juga progresif, rakyat sudah biasa dengan pertukaran. Bila sekali kita sudah tukar, pertukaran itu bukan satu perkara pelik lagi,” kata Radzi.

Menurutnya, rakyat akan dapat melihat keuntungan apabila wujud persaingan di antara parti untuk menarik sokongan rakyat melalui polisi baharu yang meyakinkan.

“Sebelum ini tak pernah tukar, tak apalah, tapi tak ada isu melibatkan urus tadbir yang cukup besar. Bila tengok isu 1MDB, isu melibatkan Felda, kita fahamlah. Kita perlu berubah supaya kerajaan dapat ditambah baik.”

Tambahnya, pengundi Ketereh juga kini tidak percaya pada BN apabila melihat parti itu terdesak sehingga terpaksa membuat karnival jualan murah untuk menarik pengundi.

Walhal, fungsi kerajaan bukanlah untuk membuat jualan murah tetapi tetapi melaksana polisi agar barangan keperluan itu mampu dibeli oleh rakyat, katanya.

“Sepatutnya lepas menang hari itu buat polisi harga barang murah, bukannya bila hendak mengundi baru buat jualan murah. 

“Kalau (pembangkang) ini tak ada jalan bantu rakyat mungkinlah buat jualan murah, tapi dia kerajaan memerintah, dia buat sendiri polisi nak turunkan harga barang.

“Maknanya orang sudah dapat melihat bahawa polisi kerajaan itu gagal. Apabila dilihat gagal, orang tidak percaya lagi pada kerajaan,” katanya. – 5 Februari, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • jgn bermimpi di siang hari lah bersatu..pengundi tak percaya dkt Bersatu adalah..sbb politik kotor yg dimainkan tu..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan