Pengkaji perakaunan forensik tinggalkan Umno kerana isu 1MDB


Salhan K. Ahmad

Ketua Bahagian Bersatu Ketereh, Radzi Jidin berusaha menjelaskan isu tadbir urus seperti 1MDB kepada pengundi terutama mereka yang masih kekal dalam Umno dan tidak terdedah kepada maklumat. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Februari, 2018.

KETIKA isu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula dibangkitkan, pensyarah perakaunan forensik Dr Radzi Jidin masih lagi dalam Umno dan percaya dengan hala tuju partinya.

Dalam tempoh sekitar 2014 apabila isu berkenaan mula timbul, beliau meneliti setiap kenyataan dan tuduhan ke atas 1MDB dari sudut pandang seorang ahli akademik. 

Radzi, 41, kini bertugas sebagai pensyarah di University of Tasmania di Hobart, di selatan Australia. 

Ketika ditemui di Ketereh, Kelantan, Radzi berkata beliau juga kini sedang menyiapkan satu tulisan mengenai 1MDB yang merupakan sebahagian daripada kajiannya.

“Saya juga guna kes 1MDB sebagai sebahagian daripada contoh dalam pengajaran. Contohnya apabila guna fair value accounting,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Anak kepada seorang guru besar tersebut sebelum ini juga pernah bertugas sebagai tenaga pensyarah di Australian National University Canberra selepas mendapat ijazah kedoktoran daripada universiti tersebut.

Sekolah perakaunan di universiti ini diiktiraf sebagai antara 10 fakulti perakaunan terbaik dunia. Sepanjang tempoh beliau di Australia pada 1997, anak kelahiran Ketereh, Kelantan ini tidak meminggirkan isu melibatkan Malaysia.

Sewaktu menjadi calon PhD di Australian National University Canberra sekitar 2001, beliau merupakan antara pelajar yang bertannggungjawab menubuhkan Persatuan Pelajar Melayu Canberra dan seterusnya Kelab Umno Australia Capital Territory. 

Pada 2004 beliau dilantik sebagai pengerusi Kelab Umno Australia New Zealand, yang menjadi induk kepada 12 kelab parti itu di kedua-dua negara.

Dalam tempoh ini, beliau membina hubungan baik dan kerjasama dengan para pemimpin Umno. Pada 2006, beliau turut berpeluang berucap di Perhimpunan Agung Umno mewakil Kelab Umno Luar Negara.

Bantu kempen Umno

Sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, beliau masih aktif dalam Umno, malah sanggup pulang bercuti ke kampung halaman selama dua minggu untuk membantu kempen parti.

“Umno tidak bagi tiket, tidak bagi apa-apa. Saya ambil cuti dua minggu, saya hanya mahu jalankan tanggungjawab saya. Itu cara saya,” katanya.

Namun beliau sudah mula mengesyaki ada perkara yang tidak kena apabila melihat 1MDB mula dibentuk daripada Terengganu Investment Authority, unit pelaburan dari negeri yang kaya dengan hasil minyak itu.

“Kerajaan sebut 1MDB ini syarikat strategik. Kalau kerajaan tubuh syarikat strategik mestilah ada perancangan teliti. Kalau anda nak buat syarikat untuk Malaysia, kenapa nak mulakan di Terengganu? Saya mula fikir, apa benda ini semua?”

Beliau seterusnya menyiasat perkara itu untuk memahami lebih mendalam kerana kajian ke atas kes penyelewengan itu memerlukan pemahaman menyeluruh dan holistik.

Tegasnya, pandangannya ke atas isu tersebut tidak berat sebelah kerana beliau melihat dari sudut akademik dan beliau juga berada dalam Umno.

“Tak ada terpesong sebab saya dari sebelah sana. Kalau kita dari sebelah pembangkang, kita tengok isu daripada cara tengok pembangkang lah. Tapi saya daripada Umno, saya tengok isu ini dengan perspektif yang begitu objektif. 

“Saya fikir, bolehkah saya pertahan isu ini. Macam mana nak pertahan. Bila tengok, tidak. Ini sudah melampau.”

Beliau turut mengikuti semula laporan portal Sarawak Report berhubung isu berkenaan dan berpendapat kes tersebut tidak dapat direka-reka sahaja dengan mudah.

“Kalaulah Sarawak Report sengaja mahu reka cerita, maka cerita ini terlalu rumit. Saya tidak fikir sampai ke tahap itu kalau sengaja mahu reka cerita. Mustahil kalau saja-saja mahu buat cerita macam ini.

“Duit masuk ke sana sini, tak berapa masuk akal,” kata pensyarah itu lagi.

Kaji pergerakan wang 1MDB

Menjelang 2015, timbul pula kes melibatkan Xavier Andre Justo, seorang bekas kakitangan di PetroSaudi International iaitu sebuah firma yang pernah berunding dengan 1MDB.

Xavier mendedahkan maklumat sulit daripada PetroSaudi kepada pengendali laman Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan juga kepada pemilik kumpulan media The Edge, Tong Kooi Ong.

Maklumat sulit itu didakwa berhubung kecurian jutaan dollar dari 1MDB dalam rundingan dengan PetroSaudi.

Susulan itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mula membuka mulut untuk mengulas mengenai 1MDB. 

Keraguan mengenai 1Malaysia Development Berhad mula timbul apabila melihat ia dibentuk daripada Terengganu Investment Authority. – Gambar AFP, 4 Februari, 2018.

Pada waktu itu juga, timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri waktu itu, Muhyiddin Yassin mula bersuara.

Kemuncaknya adalah apabila The Edge menerbitkan satu gambar rajah yang menunjukkan pergerakan dana 1MDB dari satu akaun ke akaun lain”.

“Saya mengambil masa berhari-hari untuk mengkaji gambar rajah tersebut untuk faham. Pada masa itu, saya fikir, alangkah bagusnya The Edge membantu 1MDB untuk menjawab.

“Saya mahu 1MDB tampil dengan penjelasan yang transaksi tersebut tidak berlaku. Anda boleh membuat penafian mudah yang transaksi tersebut tidak berlaku,” kata Radzi.

Wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib

Jelasnya, kerajaan sepatutnya dapat menafikan pemindahan wang itu tidak berlaku kerana segala transaksi berkenaan dapat dikesan dengan mudah.

“Orang sudah tunjuk duit pergi sini masuk ke sini, sepatutnya kerajaan cakaplah itu tidak berlaku. Bila kita cakap tentang forensik, kita bercakap tentang pergerakan wang dalam sistem perbankan. 

“Wang itu boleh dikesan jika pergi ke mana-manapun. Tidak susah langsung, jadi dia nafikanlah pemindahan itu berlaku di antara akaun. Jadi orang akan fikir, betul atau tidak cerita itu (yang didakwa The Edge).”

Pada waktu itu juga, akhbar berpengaruh Wall Street Journal menyiarkan laporan mengenai wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Perdana Menteri Najib Razak.

Namun tanpa disangka-sangka, lain pula yang berlaku. Kerajaan bertindak menggantung permit penerbitan akhbar The Edge, yang kemudiannya ditutup pemiliknya.

Muhyiddin juga dipecat daripada Umno, bersama bekas menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir. Seorang lagi pemimpin tinggi Umno, naib presiden Shafie Apdal digantung jawatan.

Pada waktu itu, beliau berpendapat, cukuplah setakat itu perjuangannya dalam Umno kerana parti itu tidak lagi mahu menjelaskan semua dakwaan tersebut.

“Kalau isu sebesar ini, jumlah sebesar ini tak ada orang nak bercakap, kecuali tiga orang ini kemudian kena pecat, jadi siapa lagi kita nak harap untuk bercakap bagi pihak rakyat.

“Apabila 1MDB hutang sebanyak itu, kemudian untuk bayar prinsipal, untuk bayar faedah, dan opportunity cost itu pula, duit itu boleh digunakan untuk tujuan lain. Apa yang tinggal daripada pinjaman duit itu, apa yang tinggal untuk rakyat?

“Sebab itu saya fikir, ini sudah melampau. Maka itulah hasil kajian saya. Saya sangat yakin saya berada di jalan benar. Katalah apa nak kata, saya di jalan benar. Ada satu perkara besar berlaku di 1MDB.”

Sedia jadi calon

Radzi berkata, beliau melihat tidak ramai ahli Umno yang berani mengisytiharkan diri keluar parti untuk menyertai parti Bersatu, tetapi ramai yang bertindak berdiam diri.

“Yang senyap ini ramai. Pengaruh ahli yang senyap inilah yang dipandang rendah sebenarnya. Terutama golongan profesional, akauntan yang faham isu ini, bila kaji betul-betul, mereka akan tengok yang benda ini merapu,” katanya.

Beliau kini dipilih menjadi ketua Bersatu bahagian Ketereh, kawasan yang diwakili ketuanya sewaktu dalam Umno, Annuar Musa. 

Ditanya sekiranya beliau akan diletakkan sebagai calon untuk kawasan itu, Radzi berkata beliau menyerahkan pada pucuk pimpinan Bersatu.

“Itu di luar bidang kuasa saya, tugas saya sebagai ketua bahagian ketereh ini adalah untuk siapkan jentera bersama pakatan harapan bagi PRU14 dan tumbangkan Barisan Nasional.

“Sekiranya pucuk pimpinan merasakan saya layak dan mampu untuk mendapatkan kemenangan bagi Pakatan Harapan di Parlimen Ketereh dan tiada sebarang aral, insya-Allah saya akan pikul amanah tersebut. 

“Apapun, perlu ditekankan yang saya serahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan,” katanya lagi kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengakui usaha untuk menjelaskan isu tadbir urus seperti 1MDB kepada pengundi di kawasan tersebut adalah satu cabaran kepadanya, terutama yang masih kekal dalam Umno dan tidak terdedah kepada maklumat.

“Tapi tidak ramai yang boleh kaitkan peluang yang hilang itu dan berbilion ringgit hak rakyat. Itu sepatutya digunakan untuk tujuan lain seperti memperbaiki sistem pendidikan,” katanya yang sudah mula mendekati pengundi kawasan itu melalui program ceramah mini.

Beliau percaya pengundi Ketereh yang cerdik dan canggih ini akan mengalihkan sokongan mereka sekali lagi pada kali ini. – 5 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • isu 1mdb ini telah diputarbelitkan sehingga ianya menjadi fitnah yg menjatuhkan kerajaan..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan