Khaled Nordin nafi menghadap Sultan Johor bincang pilihan raya


Jangan buat spekulasi, ia hanya perbincangan isu semasa negeri, kata Naib Presiden Umno Mohamaed Khaled Nordin mengenai pertemuannya dengan Sultan Johor semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2022.

NAIB Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menafikan beliau menghadap Sultan Johor semalam bagi perbincangan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.

Bekas menteri besar Johor itu berkata pertemuan pada Jumaat adalah pertemuan biasa di mana mereka membincangkan isu semasa negeri seperti bencana banjir.

Beliau juga meminta semua pihak agak tidak membuat sebarang spekulasi susulan perkongsian gambarnya dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi, Johor Bharu pada Jumaat di Facebook.

“(Menghadap Sultan Johor bincang PRN) Tiada…Jangan spekulasi banyak sangat.

“Saya dengan baginda Tuanku (Sultan) Ibrahim memang selalu berjumpa. Tiada kaitan dengan isu-isu lain, hanya sekadar bertanya khabar dan berbincang isu negeri seperti masalah banjir dan sebagainya,” katanya dipetik Sinar Harian.

Khabar angin pembubaran DUN Johor bagi memberi jalan kepada pilihan raya tersebar luar sejak bekas menteri besar Osman Sapian yang juga Adun Kempas meninggal dunia pada 21 Disember lepas.

Sinar Harian turut memetik sumber yang berkata PRN Johor tidak dapat dielakkan lagi disebabkan kedudukan kerajaan negeri yang lemah dengan hanya perbezaan satu kerusi majoriti tipis membentuk kerajaan.

Difahamkan juga yang Menteri Besar Hasni Mohammad telah menerima mandate Majlis Tertinggi Umno (MT) yang ditemuinya pada Rabu lepas untuk menghadap Sultan Johor bagi menyatakan hasrat membubarkan DUN sebaik sahaja bencana banjir di negeri itu selesai.

Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mempunyai 28 kerusi di DUN Johor melalui Umno (14), MIC (2), PAS (1) dan Bersatu (11).

Pakatan Harapan pula memegang 27 kerusi menerusi DAP (14), Amanah (6) dan PKR (7). – 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen