Jangan heret Agong dalam politik, kata Ramasamy kepada Azam  


Raevathi Supramaniam

Pemimpin DAP Pulau Pinang P Ramasamy berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak patut menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong untuk pertahan keputusannya daripada meletak jawatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2022.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak sepatutnya menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong bagi mempertahankan keputusannya untuk tidak meletakkan jawatan, kata pemimpin DAP P. Ramasamy hari ini.

Menurutnya dengan mengheret nama Agong ke dalam isu itu, Azam secara tidak langsung telah mengheret raja ke dalam politik apabila tidak ada keperluan untuk itu.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan timbalan ketua menteri II Ramasamy itu mengulas kenyataan Azam semalam yang mana beliau berkata hanya Agong boleh menamatkan perkhidmatannya.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki nampaknya agak terdesak dan panik. Beliau tahu bahawa hari-harinya sudah terhitung.

“Ketika tekanan memuncak untuk siasatannya, beliau cukup terdesak untuk menggunakan nama Agong,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.

Azam bagaimanapun seolah-olah terlupa bahawa Agong hanya akan bertindak atas nasihat perdana menteri, katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Azam menggunakan nama Agong kerana merasakan Ismail Sabri Yaakob tidak layak menjadi perdana menteri.

“Adakah Azam mengatakan bahawa Ismail tidak layak menjadi perdana menteri hanya kerana beliau tidak berkata apa-apa tentang nasib ketua SPRM.

“Dengan menggunakan nama Agong, Azam tidak perlu mengheret institusi diraja ke dalam politik. Tidak ada keperluan untuk ini.”

Ramasamy menambah bahawa hanya kerana Ismail masih membisu mengenai perkara itu, itu tidak menjadikannya seorang pemimpin yang lemah.

“Bayangkan Ismail membuka mulut mengenai isu Azam, ‘Keluarga Malaysia’ kontroversinya hanya akan jadi bahan lawak.

“Mungkin Ismail sedang menunggu Azam meletak jawatan, sesuatu yang akan menghalang kerajaan daripada menubuhkan pasukan penyiasat.

“Namun dakwaan terhadapnya mesti disiasat sama ada beliau kekal atau meletak jawatan.

“Beliau pastinya tidak boleh mengharapkan Agong atau perdana menteri untuk menyelamatkannya sekarang.”

Azam sebelum ini menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan kerana tekanan semakin meningkat kepadanya untuk berbuat demikian berhubung kontroversi pemilikan sahamnya.

Sebaliknya, katanya hanya Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan nasibnya.

Azam berkata selain keputusan Agong, beliau tidak peduli dengan mana-mana pihak lain yang menggesa beliau meletak jawatan. – 13 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen